Anda tidak bersalah, sabarlah, kata Pas kepada ‘staff’ JAIM yang diambil tindakan
Pas membantah tindakan kerajaan negeri Melaka yang dilaporkan telah memecat serta menukar pegawai Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) kerana memaparkan wajah Presiden parti itu dalam dalam paparan slaid khutbah Jumaat.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan tersebut adalah tidak munasabah dan gambaran ketakutan kerajaan negeri Melaka terhadap kebangkitan Pas.
Beliau menganggap ia bukan satu kesalahan besar apabila para pegawai itu memaparkan imej pemimpin politik yang tepat dan bersesuaian dengan ayat yang terdapat pada slaid tersebut.
“Jikalau paparan pemimpin yang korup, pernah dituduh rasuah atau mempunyai kes jenayah, itu sebenarnya yang salah.
“Dijadikan kesalahan kerana gambar itu adalah gambar Presiden Pas, jika Presiden parti lain yang bersama kerajaan, pasti tidak menjadi kesalahan dan akan dipertahankan,” katanya.
Pun begitu beliau berharap agar pegawai yang dikenakan tindakan bersabar di atas mehnah yang menimpa mereka.
Beliau juga menyifatkan pegawai-pegawai tersebut tidak melakukan dosa besar berbanding pelaku rasuah.
“Anda tidak melakukan satu dosa besar seperti mana ramai pelaku salah seperti perasuah, salahguna kuasa dan pelbagai maksiat yang tidak rasa berdosa dan menyesal, bahkan terus gembira meneruskan kehidupan mereka.
“Teruskan laksanakan amanah ilmu dengan baik dan sempurna. Sabar dalam mentaati perintah Allah lebih baik daripada hidup yang menderhakai dan berbuat maksiat kepada-Nya,” ujarnya.
BACA JUGA Pemimpin politik dalam khutbah: 4 pegawai Jaim diambil tindakan termasuk dipecat