Hadi terkejut, kakitangan Jaim yang masukkan gambar beliau dalam khutbah diambil tindakan
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang terkejut dengan tindakan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) yang mengambil tindakan tatatertib ke atas empat kakitangannya yang telah memaparkan gambar beliau di dalam video khutbah Jumaat di negeri itu.
Dalam satu hantaran menerusi akaun X beliau Hadi berkata, “Saya amat bersimpati dan terkejut dengan tindakan yang amat keterlaluan dikenakan ke atas pegawai Jaim yang terlibat.”

Hadi mengulas tindakan Jaim mengambil tindakan ke atas empat kakitangannya yang terlibat memasukkan gambar beliau ke dalam video khutbah Jumaat yang disediakan oleh Jaim untuk semua masjid dan surau di negeri itu Jumaat lepas.
Antara tindakan yang dikenakan adalah memecat dan juga memindahkan pegawai berkenaan selepas siasatan dilakukan Jaim dalam kes itu.
Dalam video berkenaan, bukan sahaja gambar Hadi dimasukkan ke dalam video yang dipasang ketika khatib membaca khutbah, gambar Yang Dipertuan Agong juga silap dimasukkan.
Gambar bekas Yang Dipertuan Agong dimasukkan ke dalam video itu bukannya gambar Yang Dipertuan Agong sekarang.
Ekoran kesilapan yang dianggap sengaja dibuat oleh pentaksub politik itu, pelbagai pihak menyesalinya dan mahu tindakan tegas diambil ke atas pihak yang terlibat.
BACA JUGA Pemimpin politik dalam khutbah: 4 pegawai Jaim diambil tindakan termasuk dipecat