Pelaburan lebih banyak masuk ke Malaysia, TV Thai pun tertarik bincang ekonomi negara
Sebuah stesen penyiaran Thailand membincangkan kemajuan pesat ekonomi Malaysia sekaligus menandakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang membawa negara ke tahap yang tidak pernah dikecapi sebelum ini.
Pakar ekonomi dari Thailand itu menerusi satu program bual bicara berkata, lebih banyak pelaburan masuk ke Malaysia berbanding Singapura.
“Setiap syarikat yang melabur di Thailand atau merancang melabur di Thailand
telah pun melabur di Malaysia.
“Antaranya, Amazon, Google, Nvidia, Facebook, ByteDance, Intel, dan banyak lagi dengan berjumlah AS$30 bilion,” katanya.
Beliau menambah jumlah kemasukan pelaburan ke Malaysia itu sekaligus menukar persepsi dan perancangan selepas ini.
“Paling penting dengan jumlah pelaburan sebanyak itu, jika kita memikirkan tentang kejayaan teknologi ASEAN, kita akan fikir Singapura, namun kali ini wang itu pergi ke Malaysia lebih banyak daripada ke Singapura,” kata penganalisis ekonomi itu lagi.
Untuk rekod, Amazon Web Services (AWS) dilaporkan akan membuka infrastruktur serantau baharu di Malaysia, dengan pelaburan bernilai RM25.5 bilion sehingga 2037.
Google pula pada Mei lalu mengumumkan pelaburan mencecah RM9.4 bilion (AS$2 bilion) untuk menempatkan pusat data Google dan wilayah awan Google pertama di Malaysia.
Pada 20 September lalu, Perdana Menteri berkata, pelaburan digital berjumlah RM185.3 bilion telah diluluskan daripada 2021 hingga Jun 2024 termasuk projek daripada syarikat terkemuka seperti NVIDIA dan Amazon Web Services (AWS).
BACA JUGA Da’i Syed fail rayuan hukuman penjara 10 tahun, tiga sebatan