101 murid keracunan makan ayam goreng, minum air coklat masam di kantin sekolah

Seramai 101 murid dari Sekolah Kebangsaan Chepor, Perak mengalami keracunan makanan selepas makan ayam goreng dan minuman coklat di kantin sekolah semalam.

Difahamkan, kesemua mangsa mengalami gejala sakit perut, muntah, cirit birit, sakit perut dan demam selepas makan makanan itu ketika waktu rehat.

Kes tersebut disahkan Pengarah Kesihatan Perak, Dr Feisul Idzwan Mustapha yang berkata, mereka dimaklumkan mengenai kejadian itu melalui sistem e-pemberitahuan semalam.

Siasatan awal mendapati makanan yang disyaki menjadi punca keracunan adalah minuman berperisa coklat dan ayam goreng yang disediakan di dapur kantin sekolah kerana pelajar mendakwa air coklat berbau masam.

“Pelajar melaporkan bahawa minuman berperisa coklat yang dijual di kantin pada hari Selasa mempunyai bau ‘masam’ ketika diminum.

“Mereka juga mengadu bahawa ayam goreng tidak dimasak sepenuhnya, dengan sebahagian daging ayam masih mentah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu semua murid telah menerima rawatan di dua kemudahan kesihatan sekitar Ipoh.

Hasil siasatan pengesanan kes aktif, sejumlah 96 kes tambahan telah dikenal pasti menjelang jam 5 petang semalam, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 101 membabitkan 50 murid perempuan dan 51 murid lelaki.

Beliau berkata, sejumlah 101 kes menunjukkan gejala muntah, 84 kes mengalami cirit-birit, 68 kes mengalami sakit perut dan 24 kes mempunyai gejala demam.

“Tanda-tanda awal bermula pada hari Selasa tengah hari, manakala tanda-tanda terbaru berlaku semalam pada jam 8 pagi. Seorang murid dimasukkan ke wad kanak-kanak di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk rawatan dan kini berada dalam keadaan stabil.

“Seramai 62 murid lain menerima rawatan pesakit luar di klinik kesihatan berdekatan dan klinik swasta berhampiran rumah mereka

“Murid lain hanya mengalami gejala ringan dan telah berehat di rumah. Semua kes dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya.

BACA JUGA PRK Mahkota: Wanita UMNO yakin BN menang bergaya, undi bertambah