PRK Mahkota: Wanita UMNO yakin BN menang bergaya, undi bertambah
Setiausaha Wanita UMNO, Datuk Rosni Sohar yakin calon Kerajaan Perpaduan dari Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota akan memperoleh kemenangan bergaya pada 28 September ini.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu berkata, keyakinan tersebut berdasarkan maklum balas positif yang diperoleh hasil kerjasama padu antara Wanita BN dan Kerajaan Perpaduan.
“Insya-Allah kita akan dapat keputusan menang bergaya, melebihi sokongan yang ada (pada keputusan lalu),” katanya dalam dialog Temu Mata: Misi Memburu Kemenangan oleh Media Perpaduan hari ini.
Turut serta sebagai panel Ketua Angkatan Wanita AMANAH Negara (AWAN) Datuk Aiman Athirah Sabu merangkap Ahli Parlimen Sepang.
Mengulas lanjut, Rosni yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Bernam berkata, bagaimanapun jentera pilihan raya harus terus bekerja demi memastikan pemilih keluar membuang undi.
“Kita tidak boleh leka dan kerja-kerja akhir mengeluarkan pengundi sangat penting.
“Jentera Jalinan Rakyat dan petugas Rumah 10 memang sudah bersedia, buat padanan rumah pengundi dan pengundi sendiri untuk dikeluarkan pada hari mengundi nanti mengikut jadual pengundi sendiri.
“Yang ini kita telah buat awal, tidaklah kelam kabut nanti.
“Insya-Allah sehingga 2 petang (pada hari pengundian) kita dapat mengeluarkan pengundi mengikut keputusan ditetapkan war room,” katanya lagi.
PRK DUN Mahkota menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah, 40, mewakili Kerajaan Perpaduan menentang Perikatan Nasional (PN) yang mempertaruhkan Mohamad Haizan Jaafar, 61, dari Bersatu.
Syed Hussien merupakan Ketua Pemuda UMNO Kluang manakala Haizan yang juga bekas jurulatih bola sepak Johor adalah Ahli Jawatankuasa Bersatu Bahagian Kluang.
PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu.
Pada pilihan raya negeri 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.
Seramai 66,318 pemilih berdaftar layak mengundi pada PRK DUN Mahkota dengan 55.03 peratus (36,497 pemilih) daripadanya merupakan pengundi Melayu manakala 22,447 pengundi Cina iaitu 33.85 peratus.
Daripada segi umur, sebanyak 51.30 peratus pengundi berusia dalam lingkungan usia 18 hingga 39 tahun dan 17.28 peratus dalam kumpulan pemilih berumur 40 hingga 49 tahun.
BACA JUGA ADUN pembangkang di Kelantan pun tak dapat peruntukan sama rata