Didakwa guna gelaran tidak diiktiraf, kes Ustaz Ahmad Husam ditetap 28 Oktober
Ustaz Ahmad Husam Muhamad Baderudin mengaku tidak bersalah atas tuduhan menggunakan gelaran dan kehormatan yang tidak diiktiraf.
Pendakwah yang pernah tular kerana menunjukkan jari tengah semasa kuliah di masjid itu didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar, hari ini.
Dia yang berusia 34 tahun dan berasal dari Kodiang, Kedah itu mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.
Mengikut kertas pertuduhan, Ahmad Husam didakwa menerima gelaran dan kehormatan tidak diiktiraf daripada Tuan Yang Terutama Yang DiPertua Negeri Melaka pada 4 Mei tahun lalu sekitar jam 11.30 pagi di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis, Jalan Kangar-Alor Setar di Kangar.
Ahmad Husam didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4A (3) Enakmen Lambang-Lambang dan Nama-Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Betul) (Pindaan) 2016 (Enakmen A21) yang dibaca bersama Seksyen 17 Akta Kesalahan yang berhubungan dengan Anugerah 2017 (Akta 787).
Kesalahan itu juga boleh dihukum mengikut Seksyen 4A(6) Enakmen Lambang-Lambang dan Nama-Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Betul) (Pindaam) 2016 (Enakmen A21).
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan dilaksanakan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Perlis, Muhamad Asyraf Md Kamal dan Timbalan Pendakwa Raya Negeri Perlis, Jodia Poh Yi Tying manakala tertuduh diwakili peguam, Nur Iman Nor Azmi dan Nur Amin Nor Azmi.
Muhamad Asyraf dalam hujahannya memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM50,000 kepada tertuduh manakala, Nur Iman mewakili anak guamnya membantah perkara itu dan memohon jaminan minimum berikutan tertuduh hanya pengetua Maahad Tahfiz di Kedah, sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak serta menderita sakit gout dan asma.
Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh dengan jaminan sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin.
Sebutan semula kes pula ditetapkan pada 28 Oktober depan dan tertuduh dikehendaki melapor diri pada balai polis yang terdekat.
Tertuduh kemudian membayar jaminan yang dikenakan.
BACA JUGA Mandi pakai ubat gigi, bayar RM50 untuk ‘tongkat power’, jet pun boleh jatuh