14 negara menentang Resolusi Palestin: Apa kata Mohamad Hasan?
Malaysia mengutuk tindakan 14 negara yang bertindak menentang Resolusi ES-10/24 yang dibentangkan oleh Palestin pada 18 September lalu di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-79.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan tindakan tersebut sebagai sesuatu yang tidak wajar di saat dunia sedang berusaha mencari penyelesaian terhadap konflik yang berlaku melibatkan Israel dan Palestin ketika ini.
“Bagaimana mereka boleh tergamak bertindak menentang sesuatu keputusan yang (sebelum ini juga) telah diputuskan oleh mahkamah tertinggi di dunia?
“Ini merupakan satu peristiwa yang saya sifatkan sebagai amalan sikap hipokrasi tertinggi dan pilih kasih daripada kepimpinan tertinggi.
“Kita sering berbincang mengenai pembunuhan beramai-ramai (genosid), kita bercakap tentang Holocaust, tetapi hari ini peristiwa ini masih berlaku dan peristiwa ini berlaku pada tahun 2024, (semestinya) ia sesuatu yang amat malang dan amat kita kesali,” katanya yang juga Timbalan Presiden UMNO, memetik Astro Awani.
Mohamad berkata demikian semasa berucap pada Majlis Makan Malam bersama Diaspora dan Pelajar-Pelajar Malaysia Misi Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), di New York semalam.
Turut hadir Wakil Tetap Malaysia ke PBB, Datuk Ahmad Faisal Mohamad dan Konsul General Malaysia di New York, Amir Farid Abu Hasan.
Dalam masa sama, majlis itu turut disertai sekurang-kurangnya 150 rakyat Malaysia yang menetap di Amerika Syarikat (AS).
Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, cadangan penyelesaian dua negara yang sebelum dicadangkan berulang kali bagi mengakhiri konflik berdekad lamanya di wilayah Palestin juga sepatutnya dipersoalkan kerana Palestin merupakan sebuah negara yang sudah lama ditubuhkan.
Bagaimanapun, ia perkara ini perlu diselesaikan kerana dunia tidak berupaya untuk terus membincangkan konflik ini kerana ia sudah berlaku selama tujuh dekad lamanya.
“Tidak wujud istilah penyelesaian dua negara kerana satu negara tersebut (Palestin) telah ditubuhkan jauh lebih lama dahulu.
“Apa yang perlu kita lakukan adalah mengiktiraf negara tersebut (Palestin) seterusnya memberikan hak kepada rakyat Palestin untuk mereka menetapkan ketentuan mereka sendiri untuk memiliki sebuah negara.
“Tapi kita nak melihat supaya perkara (konflik) ini dapat diselesaikan kerana kita tidak boleh “tersangkut kaki” sentiasa bercakap pasal Gaza kerana kita sudah membincangkan isu ini selama tujuh dekad. Jadi, elok perkara diselesaikan,” ujarnya lagi.
Pada 18 September lalu, resolusi yang dipelopori oleh Palestin itu diluluskan dengan sokongan majoriti besar, dengan 124 negara anggota mengundi menyokong, 14 menentang dan 43 berkecuali.
Selain Israel dan sekutu utamanya, AS, 12 lagi negara yang menentang ialah Argentina, Hungary, Paraguay, Republik Czech, Papua New Guinea, Malawi, Fiji, Palau, Tonga, Micronesia, Tuvalu dan Nauru.
Walaupun Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) telah mengeluarkan resolusi yang menyeru gencatan senjata segera, pengganas Israel terus melancarkan genosid di Gaza selama hampir setahun sejak 7 Oktober.
Serangan itu mengakibatkan hampir seluruh penduduk wilayah itu terpaksa berpindah, sementara sekatan yang masih berjalan menyebabkan kekurangan bekalan makanan, air bersih, dan ubat-ubatan yang teruk.
Israel turut berdepan tuduhan melakukan genosid oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa berhubung tindakannya di Gaza.
Dalam kenyataan Kementerian Kesihatan di wilayah bergolak itu semalam, jumlah keseluruhan kematian sejak 7 Oktober 2023 mencecah 41,534 orang.
Dalam masa sama, seramai 96,092 orang cedera dalam serangan yang masih berterusan manakala lebih 10,000 orang masih hilang dipercayai maut di bawah runtuhan bangunan yang dibedil pengganas Israel.
BACA JUGA Ringgit diramal cecah RM4.00 akhir tahun ini