Kembang tekak dengar, wanita ini mengaku pernah berebut teguk air kumuran Abuya

Seorang bekas Al-Arqam dan pengikut Rufaqa mengaku pernah berebut dengan rakan-rakannya meneguk air kumuran pengasas Al-Arqam, Ashaari Mohammad yang digelar Abuya.

Berkongsi pengalamannya dengan Ustaz Syihabudin Ahmad, wanita berkenaan memberitahu hal itu berlaku ketika zaman remajanya kira-kira lebih 15 tahun lalu.

“Ketika itu Abuya duduk di rumah tamu, saya antara pelajar di situ.

“Habis Abuya makan, pelajar-pelajar pun berebut makan. Mula-mula makan sisa makanan Abuya.

“Ada satu mangkuk tu disahkan kru adalah bekas kumur Abuya.

“Apa lagi, kami lawan teguk sorang-sorang,” ceritanya malam tadi.

Ustaz Syihabudin tidak dapat menahan rasa geli mendengar pengakuan bekas ahli Al-Arqam.

Pengakuan wanita berkenaan serta ramai bekas GISB Holdings (GISBH) lagi itu boleh ditonton menerusi saluran YouTube Syihabudin Ahmad.

Untuk rekod, Ashaari yang mempunyai 37 anak meninggal dunia pada 13 Mei 2010 dalam usianya 72 tahun.

Al-Arqam diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada Ogos 1994 kerana fahaman Aurad Muhammadiah.

Ekoran itu, Ashaari ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dari 2 hingga 24 September 2004 sebelum ditahan mengikut Akta Sekatan Kediaman Terhad di Rawang dan Wilayah Persekutuan Labuan selama 10 tahun.

Dalam masa sama, wanita itu menceritakan tentang ‘ibu air’yang merupakan air rendaman
janggut Abuya.

“Mereka buat satu botol besar tu ada air bercampur janggut Abuya. Mereka tuang sikit-sikit dalam botol lebih kecil sebagai ‘air berkat’,” katanya.

Selain itu, dia turut mengaku pernah menelan sehelai janggut Abuya.

“… sebab kawan-kawan kata berkat. Saya ambil (janggut) saya telan,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, Pusat Kajian Ajaran Sesat (Pukas) Malaysia mendedahkan sejumlah gambar termasuk ‘bulu berkat’ yang merupakan antara barang rampasan dalam operasi pihak berkuasa di Kelantan, Kedah, Selangor, Johor dan Negeri Sembilan.

Antara bukti bahawa GISBH mengamalkan ajaran sesat ialah bulu berkat dan kayu sugi milik Ahli Lembaga Penasihat kumpulan terbabit.

Turut dirampas beberapa botol ubat cecair, Syrup Lactulose untuk mengatasi masalah sembelit.

BACA JUGA ‘Padu sek demo bulih free air kopi O’