Rafizi minta mamat ‘dude’ baca lebih lanjut tentang pasaran buruh

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli tampil menjawab komentar yang menyebut tentang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berbunyi, “Dude, you’re the PM. you have the power”.

Beliau berkata, komentar yang menyentuh tentang majikan swasta itu muncul susulan pengumuman kerajaan sebelum ini berkaitan kenaikan gaji kakitangan awam.

“Kata mereka, kerajaan tidak menggunakan kuasanya untuk menaikkan gaji kakitangan swasta juga.

“Sebenarnya, bolehkah kerajaan mengarahkan majikan swasta menaikkan gaji mengikut ketetapan kerajaan?

“Jawapannya tidak, kerana namanya pun swasta. Ia bukan milik kerajaan. Ia tidak dimiliki kerajaan,” katanya menerusi satu hantaran video di laman X.

Menurut Timbalan Presiden PKR itu, majikan menentukan tangga gaji masing-masing kerana syarikat terbabit merupakan milik dan atas usaha mereka.

“Konsepnya sama seperti rumah yang kita miliki. Kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya masuk rumah kita, ambil hak atas rumah kita atau mengutip sewa atas rumah kita kerana ia milik kita, bukan kerajaan,” ujarnya.

Jelas Rafizi, kerajaan boleh menetapkan gaji lantai bagi mengelakkan golongan pekerja dimanipulasi agar pekerja tidak menjadi mangsa dibayar upah yang tidak berpatutan dengan kehendak hidup yang minimum.

“Tetapi setiap syarikat mempunyai pelbagai lapisan jawatan, kemahiran dan kelayakan yang berbeza-beza.

“Tangga gaji bagi pelbagai lapisan jawatan ini bergantung kepada kehendak pasaran, iaitu kemampuan syarikat-syarikat menjana pendapatan,” katanya.

Dalam masa sama, Rafizi berkata, adalah mustahil untuk wujud undang-undang yang menetapkan gaji bagi setiap jenis pekerjaan, pada setiap peringkat kelayakan, kemahiran dan pengalaman yang berbeza-beza.

Selain itu, tambahnya, mustahil undang-undang tersebut untuk dikuatkuasakan kerana akan ada ratusan ribu kombinasi jawatan dan tangga gaji mengikut industri yang berbeza dan kemahiran, kelayakan yang berbeza.

“Itulah sebabnya tidak ada negara di dunia ini yang mana kerajaan boleh mengarahkan dan menetapkan tangga gaji swasta, kecuali negara komunis sepenuhnya,” katanya lagi.

Menjawab tentang peranan kerajaan, Rafizi menjelaskan bahawa kerajaan memberi tumpuan kepada gabungan dasar yang saling melengkapi untuk mewujudkan satu pasaran kerja yang dinamik, agar gaji yang dibayar sektor swasta naik sepadan dengan nilai ekonomi yang dijana.

Wakil rakyat PKR berkenaan berkata, pentadbiran kerajaan Madani memberi tumpuan kepada dua dasar utama yang saling melengkapi.

“Pertama, Perintah Gaji Minimum untuk memastikan gaji lantai sentiasa naik mengikut kesesuaian, seterusnya mempengaruhi tangga gaji jawatan-jawatan yang lebih atas.

“Kedua, Dasar Gaji Progresif yang memberi galakan dan insentif kepada majikan dan pekerja untuk melonjakkan tangga gaji mengikut panduan gaji umum mengikut industri dan kemahiran,” jelasnya.

Sehubungan itu, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan meminta mamat ‘dude’ berkenaan membaca lebih lanjut mengenai pasaran buruh.

BACA JUGA Alat kelui meletup di Lubnan pun PN kait dengan MAHB