‘Tazkirah banyak, pakai kopiah putih tapi yang sakau juga ramai’
Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa seluruh jentera kerajaan dan swasta perlu dibersihkan daripada gejala rasuah demi masa depan yang baik untuk negara.
Perdana Menteri berkata, kerajaan pimpinannya sedang berperang dengan rasuah dan penyelewengan.
“Kita mampu (menangani rasuah), tetapi syarat seluruh jentera harus dibersihkan.
“Kadang-kadang tazkirah banyak, pakai kopiah putih ramai, tetapi yang sakau (curi) juga ramai, ini membuatkan kita pening.
“Jangan pandang ringan, kadang-kadang saya beritahu kawan-kawan untuk perangi lawan rasuah pun tidak kena, yang pertahankan rasuah besar pun tak kena.
“Saya tak faham apa yang kurang di Malaysia ini,” katanya berucap ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Kompleks Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz di Taman Alam Sutera, semalam.
Dalam masa sama, beliau yang juga Menteri Kewangan menyelar pihak tertentu yang merompak hasil dan kekayaan negara meskipun bercakap tentang Melayu dan Islam.
“Ada pihak bicara soal Melayu, agama dan Islam tapi sebenarnya rompak hasil dan kekayaan negara. Saya tidak mahu hal ini berlaku, saya tidak maksud dah berlaku di sini.
“Dalam keadaan kita semak hampir setiap kontrak, ada sahaja bocornya, ada sahaja hilang dananya. Negara mana mampu maju kalau tiap kali ada tiris dan ia bukan sedikit, ratusan juta dan bilion,” katanya.
Perdana Menteri berkata, sebagai pemimpin negara, beliau mahu gejala rasuah dan penyelewengan dapat dihapuskan demi pembangunan Malaysia lebih baik.
“Saya tidak mahu hal ini berlaku, perlu ada pengajaran. Mustahil kita semak setiap kontrak (tender), jadi akan ada ketirisan dana, negara mana mampu maju jika ada ketirisan ratusan juta, berbilion ringgit,” kata Perdana Menteri lagi.
BACA JUGA Rafizi minta mamat ‘dude’ baca lebih lanjut tentang pasaran buruh