5 ikhtiar Kerajaan MADANI menoktahkan kemiskinan

IKHTIAR 1: MEMANTAPKAN PENGUKURAN

“What gets measured, gets managed.” Peter Drucker seawal 1954 telah menekankan peri pentingnya sesuatu perkara untuk diukur.

Dalam usaha menoktahkan kemiskinan, kebijakan yang tepat hanya dapat memperoleh hasil yang disasarkan apabila pengukuran yang tepat digunakan dalam menentukan siapa yang perlu dibantu, apakah bantuan yang diperlukan.

Professor DiRaja Ungku Aziz pada lewat tahun 1950-an, berpandangan bahawa kemiskinan berpunca daripada struktur ekonomi dan sosial, serta memperkenalkan pengukuran kemiskinan menggunakan Indeks Sarung.

Kerajaan telah dan sedang melaksanakan pengukuran kemiskinan dalam pelbagai dimensi yang turut merangkumi pendidikan, kesihatan dan taraf hidup selain daripada pendapatan.

Indeks Pelbagai Dimensi (MPI) yang telah diperkenalkan bermula RMKe-11 sedang ditambah baik dari segi dimensi dan indikator supaya lebih mencerminkan tahap pembangunan negara.

Kerajaan akan beralih kepada pengukuran kemiskinan yang lebih bermakna berdasarkan konsep Pendapatan Boleh Guna Bersih (net disposable income – NDI) sebagai asas dalam mengenal pasti kumpulan sasar untuk pemberian bantuan.

Konsep NDI akan mengurangkan ralat keciciran dan bersifat lebih adil.

NDI akan mengambil kira Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW). PAKW merujuk kepada kos keperluan hidup untuk menjalani kehidupan bermaruah dan bermakna (decent living) meliputi kos makanan, pakaian, tempat tinggal, utiliti dan pengangkutan serta berbeza mengikut lokasi dan demografi isi rumah.

IKHTIAR 2: MEREFORMASI DANA MENOKTAH KEMISKINAN

Kerajaan komited untuk meneruskan reformasi fiskal sebagai sebahagian daripada langkah untuk menstruktur semula ekonomi ke arah kemampanan.

Ini termasuk merombak struktur subsidi menyeluruh kepada subsidi dan bantuan yang
lebih bersasar, termasuk bantuan sosial dan program kemiskinan.

Kebergantungan kepada dana daripada Kerajaan semata-mata boleh menjejaskan kemampanan program kemiskinan dan mengakibatkan tekanan fiskal kepada Kerajaan.

Bagi mengatasi cabaran ini, kita perlu menggembleng lebih banyak lagi kaedah pembiayaan berinovatif seperti dana impak sosial, perkongsian awam-swasta dan pembiayaan campuran.

Oleh itu, Kerajaan menggalakkan sumbangan dana daripada pelbagai pihak melalui penglibatan GLC, GLIC, sektor swasta dan sektor ketiga dalam inisiatif pembiayaan
bersama untuk menyokong penyelesaian berasaskan komuniti.

Kita sedia maklum badan zakat dan wakaf telah bergiat aktif dalam membantu asnaf di negeri masing-masing.

Daripada laporan yang kita terima, ada penerima zakat telah menjadi pembayar zakat hasil daripada program pendayaan usahawan dan perniagaan.

Justeru itu, Kerajaan menyeru supaya program seperti ini dilipatgandakan lagi di seluruh negara.

Di bawah jentera Kerajaan melalui Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC), terdapat lebih 500 program oleh 29 Kementerian dan Agensi yang dilaksanakan bagi memastikan
kesejahteraan rakyat terpelihara.

MySPC berperanan ke arah memastikan keselarasan, nilai untuk wang dan bantuan yang bermakna serta tidak berlakunya pertindihan dan pembaziran melalui tata kelola yang baik.

IKHTIAR 3: MENYEPADUKAN DATA

Hari ini pada peringkat Persekutuan, Kerajaan mempunyai beberapa pangkalan data
utama termasuk Bank Data Kemiskinan eKasih dan Pangkalan Data Perlindungan Sosial (PDPS) di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), iDamak di bawah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), eBantuan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Sistem Sumbangan Tunai Rahmah (STR) di bawah Kementerian Kewangan, Sistem Pengurusan Biasiswa dan Bantuan Kewangan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia serta pangkalan data lain di bawah kementerian dan agensi.

Pada peringkat negeri pula, masing-masing mempunyai pangkalan data tersendiri termasuk zakat.

Pangkalan-pangkalan data ini menjadi rujukan dalam pelaksanaan program menoktahkan kemiskinan di peringkat Persekutuan dan juga Negeri.

Usaha berterusan sentiasa diambil oleh Kerajaan dalam memastikan pangkalan data ini sentiasa kekal berintegriti.

Integrasi data, semak silang serta pengemaskinian data dilakukan secara berkala dengan agensi-agensi pemberi bantuan agar inclusion or exclusion error dapat dikurangkan
atau dapat diatasi.

Di samping itu, penting untuk memastikan semua agensi berkaitan bekerjasama dengan berkongsi data, maklumat dan sumber untuk mengenal pasti dan menyelesaikan isu
kemiskinan tegar.

Sumber-sumber data ini kemudiannya akan turut diintegrasi kepada Pangkalan Data Utama (PADU) yang telah saya luncurkan pada awal Januari lalu supaya hasrat Kerajaan
untuk membangunkan repositori data rujukan tunggal Kerajaan dalam pelaksanaan program menoktah kemiskinan serta pelbagai program sosioekonomi dapat direalisasikan.

Oleh itu, pada tahun 2025, Kerajaan menyasarkan pengunaan PADU sebagai asas dalam penentuan kelayakan dan pemberian bantuan sekali gus menyokong inisiatif membuat keputusan berasaskan data (data-driven decision making).

Sesungguhnya kejayaan program pembasmian kemiskinan ini bergantung kepada penggunaan sistem maklumat yang bersepadu. Kesahihan dan ketepatan maklumat amatlah penting agar program yang dilaksanakan sampai kepada kumpulan sasar yang betul.

Hasilnya, tekad Kerajaan untuk memerangi miskin tegar telah berjaya apabila tanggal 29 Julai 2024, kesemua 14 negeri telah berjaya mencapai sifar miskin tegar berdasarkan rekod locked figure eKasih iaitu seramai 126,372 Ketua Isi Rumah (KIR).

Namun begitu, usaha berterusan perlu diambil bagi memastikan kumpulan yang telah terkeluar daripada kategori miskin tegar tidak lagi kembali kepada miskin tegar.

Pada masa yang sama, kita tidak mahu lagi ada kes isi rumah yang masih lagi menerima bantuan walaupun mereka sebenarnya telah terkeluar daripada kelompok miskin tegar mahupun miskin.

Justeru, bagi memastikan tumpuan dan usaha yang berterusan dalam memerangi miskin tegar ini, satu set data lock figure baharu dengan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2022 telah disediakan. Data dinamik eKasih pada 1 Ogos 2024 menunjukkan terdapat seramai 22,893 KIR miskin tegar di seluruh negara.

Sehubungan dengan itu, 22,893 KIR miskin tegar ini dijadikan sebagai locked figure
baharu yang mana data ini perlu dipantau rapi serta diambil langkah-langkah intervensi bagi memastikan ia dapat disifarkan selewat-lewatnya pada penghujung tahun 2024.

Untuk makluman semua, sehingga 15 September 2024, rekod eKasih telah menunjukkan baki KIR miskin tegar adalah sebanyak 16,953 KIR dengan penurunan sebanyak 5,940 KIR (25.9%).

IKHTIAR 4 : MERUBAH SIKAP DAN PEMIKIRAN

Pendeta Za’aba melalui penulisannya Poverty of the Malays (1923) telah memberi kritikan tajam terhadap keberadaan masyarakat Melayu dalam kancah kemiskinan.

Di mata Za’aba, kemiskinan bukan semata-mata pada wang ringgit dan harta benda, tetapi juga miskin pada hemah dan cita-cita, pada pelajaran dan alat-alat kelengkapan pemikiran, serta pada beberapa sifat-sifat keperangaian dan kelakuan yang mulia.

Ironinya, selepas satu abad, kita masih lagi bercakap perkara yang sama.

Kita mempunyai pilihan; “bergerak dengan menerima kenyataan bahawa ‘keadaan berubah’; atau kita boleh juga memilih untuk ‘merubah keadaan’”.

Saya selalu menekankan mengenai islah mastata’tu dalam apa jua yang ingin kita lakukan. Daripada kesedaran untuk berubah datangnya islah, daripada islah perlunya mastata’tu untuk memastikan perubahan yang diharapkan benar-benar menjadi kenyataan.

IKHTIAR 5: MEMPERKUKUH TENGGANG MENOKTAH KEMISKINAN

Kita perlu mengambil pendekatan behavioral insight bagi memahami dan mendalami sikap dan tingkah laku kumpulan sasar dalam merangka program untuk membebaskan sesebuah komuniti atau individu daripada belenggu kemiskinan.

Jangan kita menjadi seperti peribahasa “sudah terhantuk, baru terngadah.” Perspektif menoktah kemiskinan juga perlu melihat kepada aspek pencegahan kemiskinan dalam usia
emas.

Adalah penting untuk menggalakkan penggunaan tabungan yang bijak, dan merancang simpanan sejak awal hayat. Kita juga perlu meletakkan ikhtiar supaya warga emas
boleh terus produktif dan mandiri tanpa mengharapkan bantuan.

Pendekatan Malaysia MADANI menekankan ikhtiar secara bersepadu dan holistik dengan pelaksanaan yang sentiasa ditambah baik menerusi musyawarah dan maklum balas rakyat.

Berpaksikan 6 nilai teras Malaysia MADANI, Kerajaan telah memperkenalkan Kampung Angkat MADANI (KAM) bagi tujuan menoktahkan masalah kemiskinan selain memastikan kemudahan serta prasarana asas di Kawasan desa dapat dilengkapkan dan seterusnya merapatkan jurang kemudahan asas dan bandar.

Pemerkasaan aktiviti ekonomi di peringkat komuniti bagi meningkatkan pendapatan setempat turut diperkenalkan melalui Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) dengan peruntukan sebanyak RM1 bilion.

Manakala Program Santuni MADANI menuntut penglibatan pemimpin untuk menyantuni penduduk kampung kelahiran atau tempat pemimpin membesar bagi mengenal pasti masalah sosio ekonomi dan keperluan penduduk di kampung.

Program ini bertujuan meningkatkan potensi kampung dan keupayaan masyarakat melalui pemantauan secara langsung serta libat urus bersama pemimpin.

Sementara itu, Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang diperkenalkan oleh Kementerian Ekonomi adalah antara ikhtiar inovatif Kerajaan dalam menangani isu struktur terkait dengan kemiskinan, keterjaminan makanan, kos sara hidup, pemasaran, dan peluang pekerjaan.

Susulan kejayaan program rintis 100 unit mesin layan diri IPR-INSAN, pada hari ini, saya ingin mengumumkan perluasan penempatan 4,900 unit mesin lagi di seluruh negara. Selain itu juga, program IPR-INTAN yang telah merangkumi hampir 3,000 ekar juga bakal diperluaskan di seluruh negara. Dalam hubungan ini, saya menggesa Kerajaan Negeri dan semua pihak untuk memberi kerjasama penuh dalam menjayakan program INSAN dan INTAN ini.

Kerjasama erat semua pihak, baik Kerajaan, swasta, organisasi masyarakat sivil, mahupun komuniti pada peringkat akar umbi sebagai wadah keseluruhan negara.

Ini menjadi kunci kepada jihad kita untuk menoktahkan kemiskinan secara bersama.

*Teks ucapan penuh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa merasmikan Simposium Kemiskinan Kebangsaan 2024 di Putrajaya hari ini.

BACA JUGA ‘Tidak akan dapat diselamatkan jika terlalu lambat banteras rasuah’