‘Tidak akan dapat diselamatkan jika terlalu lambat banteras rasuah’
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan negara tidak akan dapat diselamatkan sekiranya jenayah rasuah terlalu lambat dibanteras.
Menteri Kewangan berkenaan berkata, jika ada pilihan beliau akan mengejar perasuah tanpa belas kasihan, menjawab soalan CNBC jika kerajaan bertindak terlalu cepat dan keras dalam membanteras rasuah.
Bagaimanapun, katanya, beliau perlu berbincang dengan parti gabungannya untuk mencari kaedah terbaik menyelesaikan isu berkenaan.
“Saya tegaskan jika mereka bertindak terlalu lambat dan tidak berkesan, negara tidak akan dapat diselamatkan.
“Saya rasa sekarang kita mendapat kemajuan yang cukup untuk menunjukkan misi ini akan diteruskan,” ujarnya dalam temubual bersama CNBC.
Beliau berkata, pelabur akan lebih yakin apabila melihat kerajaan telus dan mempunyai komitmen kukuh untuk menghapuskan rasuah.
Jelas Ahli Parlimen Tambun itu, tanpa kesungguhan membanteras rasuah, tiada siapa yang akan melabur secara besar-besaran.
“Kecuali mereka yang mempunyai aturan rasuah, mereka akan teruskan. Tetapi itu mesti dihentikan, nasib baik ia sudah berhenti.
“Walaupun begitu, kami masih meneruskan misi ini kerana rasuah hampir sistemik.
“Apabila ia menjadi sistemik, misi dan usaha melawan rasuah mesti dilakukan dengan sepenuh tenaga,” kata Perdana Menteri lagi.
BACA JUGA ‘Salam 20k’ sakat PN, Wan Fayhsal terus membisu