Mangsa banjir Kedah makin bertambah, empat sungai ini lebihi paras bahaya
Jumlah mangsa banjir di Kedah kembali dan terus meningkat kepada 1,338 orang melibatkan 432 keluarga sehingga jam 7.19 pagi ini.
Kesemua mangsa dari tiga daerah iaitu Pokok Sena, Kota Setar dan Kubang Pasu ditempatkan di 11 pusat pemindahan sementara (PPS).
Paling terjejas, Pokok Sena dengan mangsa banjir kini mencecah 734 orang (231 keluarga) di lima PPS berbanding 652 orang (201 keluarga) pada 11 malam tadi.
Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut merekodkan seramai 319 mangsa banjir melibatkan 99 keluarga di Kota Setar kini berlindung di tiga PPS.
Daerah Kubang Pasu pula merekodkan 285 mangsa banjir (102 keluarga) di tiga PPS yang mula dibuka kembali sejak 28 September.
Sementara itu, maklumat Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan empat sungai di Kedah mencatat bacaan melepasi paras bahaya setakat am 7.15 pagi tadi.
Sungai terbabit ialah Sungai Padang Terap di Kepala Batas di daerah Kubang Pasu dengan trend paras air menurun.
Walau bagaimanapun, trend paras air menaik dan sudah pun melepasi paras bahaya ialah Sungai Bata di Kampung Bata (Kubang Pasu); Sungai Titi Kerbau di Kubur Panjang (Pendang) dan Sungai Anak Bukit di Taman Aman (Kota Setar).
BACA JUGA Formula Perpaduan perlu diteruskan sampai PRU16