‘Salam 20k’ sakat PN, Wan Fayhsal terus membisu
Usikan ‘Salam 20k’ merujuk pada majoriti 20,648 undi diperoleh BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota kelmarin dilihat terus menghujani Perikatan Nasional (PN).
Komentar tersebut turut dilihat ‘singgah’ di media sosial milik Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad yang sehingga kini masih membisu untuk mengulas keputusan PRK yang mengejutkan blok pembangkang itu.
Semakan mendapati Wan Fayhsal yang juga Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sehingga ini tidak berkongsi sebarang ulasannya berkenaan PRK DUN Mahkota di media sosial miliknya.
Kali terakhir bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu menyentuh tentang PRK DUN Mahkota adalah pada petang hari pengundian, 27 September lalu.
Katanya ketika itu, PN adalah benteng semak dan imbang segala kebobrokan kerajaan campuran PH-BN.
“Kalau PN lemah maka hancurlah politik yang membela golongan terbanyak dan terpaling susah dalam negara!
“Ayuh Mahkota kita zahirkan protes demi ABATA (Agama, Bangsa, Tanahair)!” kata Wan Ahmad Fayhsal di platform X.
Sebaliknya, dalam perkongsian Wan Fayhsal semalam, dia memuat naik gambar dua naskhah buku berserta secawan kopi.
Wan Fayhsal menganggap dua karya itu dapat membantu untuk memahami keruntuhan Timur Tengah masa lalu dan perkembangan semasa terutamanya selepas Ismail Haniyeh dan Hassan Nasrallah syahid dalam serangan pengganas Israel.
“Jom baca dulu sambil ngopi,” katanya di platform X yang kemudian mengundang sindiran netizen termasuk bertanyakan sambungan kepada cerita ‘pager’ meletup yang dicanang Wan Fayhsal semasa ceramah kempen PRK DUN Mahkota lalu.
Ada kalangan warganet juga secara sinis menasihati PN agar meneruskan politik keji dengan memperalat sentimen kaum dan agama supaya rakyat terus menolak blok pembangkang yang dianggotai Pas dan Bersatu itu.
Rata-rata berpendapat serangan peluru PN sepanjang kempen PRK DUN Mahkota lalu termasuk isu BlackRock dan luar tabii yang turut kerap disebut Wan Fayhsal sebagai melampau.
Malah, PN yang mempertaruhkan bekas jurulatih bola sepak daerah Kluang, Mohamad Haizan Jaafar, 61, dengan hanya mendapat 7,347 undi nyaris hilang wang deposit.
BACA JUGA Jenazah Hassan Nasrallah ditemui