Terjawab kenapa minyak masak paket susah nak jumpa di pasar raya

Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya membongkar penyelewengan minyak masak paket yang dianggarkan berjumlah hampir RM15 juta.

Kejayaan rampas minyak masak bersubsidi sebanyak 6 tan itu adalah hasil risikan terhadap kegiatan sindiket skala besar berpangkalan di Taman Reko, Kajang, kelmarin.

Sumber KPDN berkata, dalam operasi bersepadu bersama KPDN Selangor, pihaknya berjaya menahan seorang lelaki yang didakwa berperanan menindahkan paket minyak masak subsidi.

“Operasi membabitkan anggota Seksyen Perisikan KPDN Putrajaya dan KPDN Selangor terhadap stor yang disyaki tidak berlesen.

“Pihak KPDN terpaksa memotong kunci stor selepas individu di dalamnya enggan memberi kerjasama.

“Hasilnya seorang lelaki tempatan di dalam stor ditahan. Dia mendakwa berperanan sebagai pemandu lori yang memindahkan paket minyak masak subsidi,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Portal itu beberapa hari ini mendedahkan mengenai kegiatan berterusan penyelewengan minyak masak 1 kilogram ke negara jiran.

Sementara itu, dalan serbuan terbabit KPDN berjaya menemui 300 kotak berisi 5,100 paket minyak masak subsidi seberat 5.1 tan.

Turut ditemui adalah tangki besar berisi 850 liter minyak masak di dalam stor sama.

“Berdasarkan penemuan itu, pihak KPDN tidak menolak kemungkinan semua minyak masak bersubsidi bernilai hampir RM15 juta mengikut harga pasaran,” katanya.

Menurutnya, siasatan akan dijalankan Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

“Jika disabit kesalahan, mereka yang didapati bersalah boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

“Manakala bagi kesalahan kedua dan seterusnya denda hingga RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi pertubuhan atau perbadanan pula, boleh didenda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

“Siasatan lanjut juga akan dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenal pasti individu/syarikat terbabit dalam aktiviti atau rantaian pengedaran minyak masak paket termasuk sumber minyak masak paket diperoleh dan edaran mana-mana pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

BACA JUGA ADUN Pelabuhan Klang naik angin dengan JKR, setahun jalan berlubang tak dibaiki