Orang kita bising, orang kita juga dalang sindiket seleweng minyak masak

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) tidak menafikan wujudnya dalang dari orang tempatan sendiri yang bersekongkol dengan sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata, sindiket ini mahu mendapatkan keuntungan dengan mudah memandangkan harga minyak masak bersubsidi di Malaysia jauh lebih rendah berbanding di negara jiran.

Ia terbukti apabila KPDN berjaya menumpaskan sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi menerusi Ops Tiris 3.0 dalam siri serbuan terbaharu di beberapa buah premis di sekitar negeri Perak, Selangor dan Johor.

“Pihak diserbu pada Ogos lalu adalah rantaian syarikat pengilang, pembungkusan dan pemborong minyak masak. Nilai keseluruhan ketirisan subsidi minyak masak dalam operasi ini dianggarkan boleh mencecah RM20 juta,” katanya memetik laporan media tempatan.

Dalam satu kes terbaharu pada 23 Ogos lalu, KPDN bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mematahkan sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi hasil serbuan terhadap tiga premis berasingan di Nilai, Negeri Sembilan.

“Dalam serbuan itu, sebanyak 180,200kg minyak masak bersubsidi pelbagai jenama berjaya disita, selain kenderaan dan beberapa dokumen seperti invois jualan dan belian.

“Nilai keseluruhan rampasan dalam operasi itu dianggarkan berjumlah RM490,500,” katanya.

Sementara itu Azman Adam berkata, kementerian akan terus mempertingkatkan tindakan penguatkuasaan termasuk bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain bagi memastikan ketirisan dan aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi dapat dibanteras.

BACA JUGA Identiti Lim Sian See pengkritik Rafizi terdedah dalam podcast Yang Bakar Menteri