Pelan Tindakan Perkhidmatan Kesihatan Warga Tua KKM 2023-2030, dimentia, perkasa kesihatan warga tua
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad telah melancarkan Pelan Tindakan Perkhidmatan Kesihatan Warga Emas KKM 2023-2030, Pelan Tindakan Dementia 2023-2030 yang merupakan hala tuju perkhidmatan warga emas sehingga 2030.
Beliau berkata kedua-dua pelan itu merupakan hala tuju perkhidmatan kesihatan warga emas sehingga 2030.
“Mustahak untuk saya tekankan kedua-dua tindakan ini menggariskan langkah strategi serta bagaimana kita memperkasakan kesihatan warga emas.
“Kesemua ini penting bertepatan dengan istilah pendekatan kesihatan yang menyeluruh yang mana kita menumpukan kepada keperluan perjalanan pesakit di usia senja mereka.”
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Kementerian Kesihatan Malaysia 2024 dan pelancaran Pelan Tindakan Perkhidmatan Kesihatan Warga Emas 2023-2030 serta Pelan Tindakan Dementia 2023- 2030.
Kedua-dua pelan itu mengariskan strategi pemerkasaan penjagaan kesihatan warga emas untuk kekal sihat dalam komuniti melalui program pencegahan dan penjagaan diri dan melalui perkhidmatan kesihatan yang komprehensif, berintegrasi berteraskan ‘Patient-Centered Care’, tambah beliau.
Selain itu pelan berkenaan berobjektifkan perluasan kebolehcapaian perkhidmatan kesihatan primer kepada warga emas melalui klinik desa yang bermula sejak Julai 2019 dan sehingga Jun 2024, sebanyak 416 buah klinik desa telah terlibat.
Sambutan Hari Warga Emas tahun ini bertemakan ‘Sihat Madani Di Usia Emas’ memfokuskan kepada aktiviti promosi kepentingan penuaan sihat dan bermaruah yang perlu bermula dengan pencegahan penyakit terutamanya penyakit tidak berjangkit (NCD) sejak usia muda, serta pembudayaan hidup sihat melalui Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS).
Dzulkefly berkata selaras dengan hasrat tersebut, KKM sedang menambah baik Garis Panduan Pelaksanaan Kelab Warga Emas yang akan memandu kesemua 256 Kelab Warga Emas yang kini aktif di bawah KKM.
BACA JUGA: Akta 852 akan dikuatkuasa sepenuhnya Ogos ini – Dr Dzulkefly