Penswastaan: Satu impian tanpa kemungkinan – Bahagian 3
OLEH KHALID SAMAD
Mukadimah
Ada yang menyuarakan pandangan bahawa pasukan bolasepak profesional liga super tidak seharusnya dibiayai kerajaan. Tidak wajar duit pembayar cukai digunakan untuk membiayai pasukan bolasepak profesional, kata mereka. Ianya ‘urusan swasta’ dan seharusnya dibiayai pihak swasta!
Pandangan sebegini mungkin berdasarkan amalan di negara-negara di Eropah seperti England dengan EPLnya dan Italy dengan La Liganya dan sebagainya. Akan tetapi ini adalah negara-negara di mana industri bolasepaknya telah jauh maju dan bolasepak diterima sebagai bukan sahaja sukan nombor satu tetapi juga budaya dan sebahagian cara hidup rakyat.
Realitinya di Malaysia
Keadaan sebegitu belum lagi wujud di negara Malaysia. Mereka yang berpandangan sebegini juga lupa sebab mengapa liga super dan kerjaya bolasepak profesional diperkenalkan. Sepertimana dijelaskan dalam tulisan saya yang lepas, bahagian kedua, meningkatkan kemahiran berbolasepak dan membangunkan industri bolasepak adalah satu agenda nasional.
Oleh itu, sambil usaha membangunkan industri bolasepak sehingga ke tahap ‘commercially viable’ sehingga mampu berdikari sedang diusahakan, kerajaan perlu membantu ke arah kelestarian industri sukan ini. Buat masa ini, perbelanjaan untuk membiayai pasukan bolasepak profesional di Malaysia bagaikan ‘bottomless pit’ di mana duit dibelanjakan tanpa mendapat pulangan yang setimpal. Ianya sebuah ‘very costly centre’ dan bukan ‘profit centre’. Ini hakikatnya dan tidak mungkin akan ada mana² perniagaan swasta akan sanggup, secara sendiri, membiayai pasukan bola sepak liga super, kecuali orang seperti TMJ. Dan berapa ramai individu seperti TMJ yang wujud di Malaysia ini?
Oleh kerana itu, cadangan-cadangan cara membangunkan industri sukan bolasepak mesti mengambilkira hakikat ini dan berpijak di bumi yang nyata.
KLFA dan usaha penswastaan
KLFA telahpun berusaha, 2 kali sebelum ini, untuk menswastakan pasukan bolasepaknya, KL City FC, tetapi malangnya tidak berjaya. Itu pun untuk menjual hanya 51% saham KL City FC.
Kali pertama pada 2021, dengan syarikat pilihan Annuar Musa. Akibatnya KLFA kehilangan kontrak penyelenggaraan Stadium KL dan kawasan parkir kereta Stadium yang sebelum ini di bawah jagaan KLFA. Ianya sebaliknya diserah kepada syarikat pilihan Annuar Musa semasa beliau Menteri WP, melalui ‘tender’ yang sangat tertutup. Dan penswastaan gagal apabila syarikat berkenaan tidak mampu meneruskan pembelian saham KL City FC. Hanya sekadar meletakkan sejuta lebih dan telah ‘kiyok’ selepas itu.
Usaha kali kedua dilakukan pada awal 2023 dan usaha itu pun telah gagal setelah syarikat berkenaan melaburkan lebih RM 2 juta dan selepas itu tidak mampu meneruskan lagi. Ini adalah kerana duit keluar berjuta setiap bulan, sambil yang masuk terlalu sedikit.
Cabaran dalaman yang dihadapi
Banyak cadangan dan banyak pandangan. Dalam KLFA juga tak semua sealiran. Ada juga yang pernah berkata, “lupakan sahaja. Kita bina team yang cekai dan kita jual jer”. Ada juga yang cuba untuk ‘sabotaj’ usaha penswastaan dengan mengeluarkan kenyataan dalam akhbar bahawa, “pasukan ini bukan untuk dijual”. Dan begitu juga kenyataan ingin “keluarkan pasukan KL City dari Liga Super”.
Ini semua usaha sabotaj kerana kalau tidak untuk dijual dan akan ditarik keluar liga, maka pelabur mana yang sanggup meletakkan wangnya? Walaupun keputusan untuk jual dan menyertai Liga Super telah lama dibuat, individu-individu berkenaan sanggup langgar semua keputusan sebelum ini kerana mempunyai agenda tersendiri. Lebih-lebih lagi bila tahun ini adalah tahun pemilihan..
Kaedah yang perlu diamalkan ke arah penswastaan
Pertama, ianya perlu dipersetujui bahawa membangunkan industri sukan bolasepak di negara ini adalah satu agenda nasional. Ianya bukan agenda peribadi atau pihak swasta yang melibatkan diri dalam bidang ini sebagai hobi yang disukai mereka. Atau untuk perhabiskan duit kerana dah terlalu banyak duit…
Apabila ini disedari dan dipersetujui maka kerajaan serta FAM dan MFL mesti memudahkan kesinambungan pasukan yang sedia ada terlibat dalam liga super dengan disediakan insentif untuk pihak swasta mengambil bahagian dan pemilikan saham pasukan bolasepak liga super. Sambil itu diberikan jaminan bahawa pihak kerajaan akan sentiasa bersama dan membantu dengan penuh komitmen. Kerajaan tidak boleh lepas tangan dalam usaha untuk menjayakan industri bolasepak negara dan akan bersama berusaha mencari penyelesaian.
Dengan disediakan sedikit insentif dan pemantauan bersama, pihak individu yang kaya-raya dan pihak swasta yang berkemampuan akan lebih berani untuk bersama dalam usaha membangunkan industri ini. Ianya sepertimana juga usaha membangunkan industri lain di negara kita di mana disediakan kelebihan-kelebihan seperti ‘pioneer status’, ‘tax incentive’ dan sebagainya.
Ini bererti perspektif kita terhadap liga dan bolasepak perlu berubah sepertimana juga cara kita ingin kendalikannya. Ianya perlu dilihat dan dilayan sebagai industri yang baharu yang ingin dibangunkan, maka barulah ianya boleh berkembang sehingga menjadi sesuatu yang viable. Namun ianya pasti akan memakan masa.
Sekiranya sebaliknya maka sudah pasti pasukan pasukan Liga Super akan bermasalah dari sudut kewangan. Bunga-bunga ini sudah lama kelihatan. KL City menghadapi masalah ini sejak dulu lagi tanpa dihebohkan media seperti sekarang. Mungkin oleh kerana tahun ini tahun pemilihan maka ada yang ingin mengambil kesempatan untuk menonjolkan diri sebagai hero.
Kesimpulan
Liga profesional membekalkan pemain² negara. Tanpa adanya liga ini, negara akan ketandusan pemain yang berkualiti tinggi. Dengan adanya liga ini negara mampu mempertengahkan bakat terbaik sebagai yang mewakili negara.
Liga pula perlukan pasukan² profesional yang berkualiti dan ini menelan belanja yang besar, lebih² lagi kalau adanya pemain import. Hanya cara ini dapat mendedahkan pemain² tempatan kepada kualiti mainan antarabangsa.
Oleh itu satu usahasama swasta dan awam/kerajaan perlu diadakan untuk memungkinkan industri sukan bolasepak bertapak dan bermajujaya. Lagi cepat hakikat ini diakui dan ditangani secara terancang, lebih baik untuk industri sukan bolasepak negara.
Kesan positif adanya liga profesional terhadap mutu bolasepak negara sudah mula jelas kelihatan. Prestasi pasukan kebangsaan, pasukan bawah 23 dan bawah 20 semakin menyerlah di pentas antarabangsa.
KHALID SAMAD ialah mantan pengerusi KLFA.
BACA JUGA: Dilema uruskan KLFA – Bahagian 1
Peranan kerajaan dalam memajukan bola sepak negara – Bahagian 2