15 rakyat Malaysia dievakuasi dari Lubnan, keadaan keselamatan makin meruncing

Kedutaan Besar Malaysia di Beirut sedang melaksanakan proses evakuasi 15 rakyat Malaysia bersama tiga warga asing yang juga pasangan kepada rakyat Malaysia.

Berikutan keadaan keselamatan yang semakin meruncing di Lubnan, sembilan rakyat Malaysia sudah meninggalkan negara itu secara sukarela manakala empat lagi memilih untuk terus kekal di Lubnan.

Menerusi satu kenyataan kementerian semalam, empat pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Beirut akan meneruskan operasi di Lubnan.

Dalam kenyataan sama, Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis Israel yang berterusan melancarkan serangan ketenteraan melalui serangan udara dan darat ke atas Lubnan.

“Kekejaman rejim Zionis Israel ini secara jelas melanggar Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa yang mengancam keselamatan, kestabilan serta kedaulatan dan integriti wilayah Lubnan,” menurut kenyataan itu.

Dalam masa sama, Kementerian Luar turut menekankan adalah penting bagi semua pihak untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan yang sedia tegang di rantau berkenaan.

“Malaysia bersolidariti bersama Lubnan dan masyarakat antarabangsa untuk mendesak rejim Zionis Israel melaksanakan gencatan senjata segera bagi mengelakkan bencana kemanusiaan yang lebih dahsyat di Lubnan,” menurut kenyataan itu lagi.

BACA JUGA Pengganas Israel beri amaran serang besar-besaran Asia Barat ‘malam ini’