Kematian doktor pakar: KKM tubuh pasukan khas siasat dakwaan ada unsur buli
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengumumkan penubuhan Pasukan Petugas Khas bagi menyiasat insiden kematian pakar perubatan patologi di Lahad Datu, yang akan berkuatkuasa 10 Oktober depan.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, penubuhan pasukan bebas itu selaras dengan pendirian KKM yang tidak akan bertolak ansur dengan perlakuan buli di tempat kerja.
Beliau berkata, Tan Sri Borhan Dollah yang juga bekas Pengarah Perkhidmatan Awam akan dilantik mengetuai pasukan khas untuk menyiasat kes tersebut.
Dzulkefly menambah, laporan hasil siasatan berkaitan insiden kematian mendiang serta cadangan penambahbaikan bagi menangani perlakuan buli di fasiliti kesihatan perlu disediakan dalam masa tiga bulan dari tarikh penubuhan.
“Selain itu, Pasukan Petugas Khas juga dianggotai oleh lima ahli bebas bukan anggota KKM yang berpengetahuan dan mempunyai kepakaran dalam seperti bidang perubatan, psikiatri, patologi serta kesihatan mental dan perlakuan buli,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Kematian seorang doktor pakar di Lahad Datu, Sabah baru-baru ini didakwa disebabkan oleh tindakan bunuh diri akibat tidak tahan dibuli.
Dr. Tay Tien Yaa yang merupakan pegawai perubatan pakar Patologi Kimia di Hospital Lahad Datu ditemui meninggal dunia di kediamannya pada 29 Ogos lalu.
Adik mangsa, yang dikenali sebagai YS Tay mendakwa kakaknya, Dr Tay Tien Yaa, ditindas pegawai atasannya selain menghadapi tekanan sepanjang bertugas di unitnya akibat beban kerja melampau.
Sementara itu Pasukan Petugas Khas berperanan untuk melaksanakan siasatan dan menganalisis input daripada siasatan kematian Dr Tay secara khusus serta meneliti budaya kerja di Hospital Lahad Datu.
Menurut menteri, pasukan akan mengenal pasti dan mengesahkan sama ada wujud perlakuan buli di Hospital Lahad Datu secara umum dan di Jabatan Patologi Hospital Lahad Datu secara khusus.
Selain itu mengenal pasti jenis perlakuan buli yang cenderung berlaku di KKM serta faktor dalaman dan luaran yang menyumbang kepada perlakuan tersebut.
“Menyediakan laporan hasil siasatan berkaitan insiden kematian Dr Tay serta cadangan penambahbaikan bagi mencegah dan menangani perlakuan buli di fasiliti kesihatan dalam masa tiga bulan dari tarikh penubuhan.
“Turut ditekankan sekali lagi bahawa KKM komited untuk
memperbaiki persekitaran kerja supaya lebih harmoni dan kondusif,” katanya lagi.
BACA JUGA PM Anwar sambut baik komitmen pelaburan Oracle, ini jumlah keseluruhan pelaburan diraih