Pelajar UMS bawa guni sampai dapat perhatian menteri buka cerita sebenar
Seorang pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjadi sorotan media selepas kisahnya menggunakan karung guni sebagai bagasi ketika hari pendaftaran tular di media sosial.
Bagaimanapun dalam satu penjelasan terbaru, pelajar berkenaan, Rafida Ziaddin menafikan dia membawa karung guni kerana tidak mampu atau miskin.
Sebaliknya jelas gadis berusia 19 tahun itu, dia menggunakan guni untuk memudahkannya mengisi barang dan kebetulan ketika itu pihak UMS menetapkan pelajar baharu hanya boleh membawa maksimum dua bagasi sahaja.
Memetik laporan Kosmo!, Rafida memutuskan untuk menggunakan guni kerana perlu menaiki bas selama enam jam dari Sandakan ke Kota Kinabalu dan banyak barang keperluan hendak dibawa ke universiti ketika itu.
“Oleh itu, saya ambil inisiatif guna guni kepunyaan bapa untuk masukkan separuh barang yang perlu dibawa manakala selebihnya disimpan di dalam bagasi dan beg sandang,” katanya seperti dilapor.
Anak bongsu daripada dua beradik itu berkata, dia sendiri terkejut mengetahui ceritanya membawa guni plastik ketika pendaftaran menjadi tular sehingga mendapat perhatian menteri.
Pada masa sama dia juga mendedahkan jumlah wang perbelanjaan yang diterimanya dari Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek
Katanya, Fadhlina telah membuat pindahan wang sebanyak RM3,000 sejurus selepas menteri itu menghubunginya melalui panggilan video pada hari kisahnya tular.
Rafida yang mengambil jurusan perakaunan di UMS adalah antara lima pelajar dari universiti itu yang diberikan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (JPANS), hari ini.
BACA JUGA Lelaki dedah makanan di Hatyai sebenarnya tak semurah seperti dicanang