Dr Akmal jadi jurucakap PN, dakwa Pengarah Komunikasi Umno

Pengarah Komunikasi Umno, Datuk Lokman mendakwa bahawa Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Salleh menjadi jurucakap Perikatan Nasional (PN) dengan membangkitkan semula dakwaan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan status enam ahli parlimen dan Adun Selat Kelang dari Bersatu yang menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di pusat dan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari di Selangor.

“Kerja Muhyiddin makin lama, makin mudah bilamana Ketua Pemuda Umno hari ini sudah menjadi jurucakap kepada Perikatan Nasional.

“Saya terpanggil menjawab jurucakap Muhyiddin ini. Saya rasa dah melampau sangat budak ini bilamana kenyataan yang dibuat oleh Muhyiddin tidak mendapat sambutan.

“Amat menghairankan, Akmal Saleh pula jadi jurucakap Perikatan Nasional. Din Tompok ini bukan setakat pakar lompat.

“Dia tak layak cabar kerajaan perpaduan mengisytiharkan pengosongan enam kerusi parlimen dan satu kerusi DUN di Selangor yang dimiliki ahli Bersatu yang menyokong kerajaan,” kata Lokman dalam siaran rakaman YouTube yang turut dikongsi menerusi TikTok.

Lokman menjelaskan bahawa status kesemua tujuh wakil rakyat masih kekal dalam Bersatu. Beliau turut ‘menyekolahkan’ Akmal berkenaan akta lompat parti.

“Keputusan sama ada pengosongan enam kerusi parlimen dan satu DUN berkenaan sepatutnya dibuat oleh individu yang mewakili semua kerusi berkenaan.

“Keenam-enam ahli parlimen dan satu ADUN tak pernah lompat parti.

“Saya nak beritahu Dr Akmal, tolong simpan kebodohan kau ini. Jangan terlalu nampak dangkal sehingga tak sedar yang akta yang digubal ialah akta lompat parti.

“Kita tak pernah menggubal akta menyokong mana-mana individu. Kita gubal akta lompat parti dan benda ini jadi longgar kerana kebodohan pemimpin Perikatan Nasional… pemimpin Bersatu.

“Apa ke jadahnya ketua pemuda Umno menjadi jurucakap kepada Perikatan Nasional?” bidasnya.

Dalam masa sama, Lokman turut menjelaskan bahawa pimpinan Bersatu yang menjadi batu penghalang kepada akta lompat parti yang kukuh sehingga ia menjadi musibah kepada mereka.

“Yang digubal ialah cadangan Datuk Seri Wan Junaidi. Tiga kali sampai tahap nak letak jawatan kerana cadangan beliau nak akta yang cukup lengkap, kuat kukuh tetapi dibantah oleh Bersatu.

“Sebab apa? Tak lain tak bukan mereka merancang untuk mencuri ahli parlimen BN selepas PRU 15.

“Mereka tahu mereka tak boleh memerintah secara persendirian kecuali dengan mengharapkan pengkhianatan, pembelian ahli-ahli kita.

“Apa ke jadahnya Dr Akmal nak mempertahankan sesuatu yang sebenarnya tak wujud?

“Jadi Akmal, sebelum cakap panjang, tolong baca. Jangan dengar sangat apa yang Muhyiddin baca. Muhyiddin baca sekerat, bukan penuh. Tolong baca apa itu akta anti lompat parti.

Status kesemua wakil rakyat tersebut turut diperjelaskan.

“Sehingga kini, kesemua enam ahli parlimen dan ADUN ialah ahli Bersatu dan tak pernah melompat masuk Umno. Jadi tak kena mengena dengan akta anti lompat parti.

“Enam orang itu hanya beri sokongan kepada (Perdana Menteri) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ADUN memberi sokongan kepada (Menteri Besar Selangor)Datuk Seri Amiruddin Shari,” kata Lokman lagi.

BACA JUGA: Letak jawatan serta merta, AMANAH Kedah desak CEO MADA Corp