Mahkamah tidak benar Mahiaddin sambut ulang tahun di Uzbekistan
Permohonan Presiden Bersatu, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin untuk mendapatkan pasportnya bagi menyambut ulang tahun perkahwinan di Uzbekistan ditolak Mahkamah Sesyen hari ini.
Hakim, Azura Alwi memutuskan demikian selepas mendapati alasan Mahiaddin, 77, tidak munasabah kerana pemohon berpeluang untuk bercuti atau meraikan apa-apa sambutan namun bukan di luar negara.
“Mahkamah mendapati permohonan itu tidak wajar untuk dibenarkan kerana pemohon masih boleh menjalani kehidupan atau menjalankan tugas seperti biasa,” kata hakim itu menurut Sinar Harian.
Menerusi permohonan pelepasan pasport, Mahiaddin dan isterinya menyatakan ingin meneruskan perjalanan singkat ke Uzbekistan sebagai bentuk rehat dari pelbagai cabaran yang dihadapi.
Ia termasuk pertuduhan yang dihadapi Mahiaddin di bawah Akta Hasutan serta komitmen beliau dalam beberapa Pilihan Raya Negeri yang telah berlangsung selain ingin meluangkan masa bersama-sama isterinya sempena ulang tahun perkahwinan mereka pada 22 September ini.
Sementara itu, semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Noralis Mat turut membantah permohonan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu untuk mendapatkan kembali pasportnya yang disimpan di mahkamah.
Beliau menyifatkan, alasan mahu bercuti ke luar negara kerana mahu berehat dan menyambut ulang tahun perkahwinan sebagai tidak mustahak.
BACA JUGA Ringgit berprestasi terbaik dunia hasil gandingan ‘The dream team’