Sultan Selangor perkenan fatwa GISBH seleweng akidah Islam
Sultan Selangor memperkenankan fatwa yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa negeri itu bahawa pemimpin, pengikut, pekerja atau ahli GISBH Holdings Sdn Bhd (GISBH) dan rangkaiannya adalah menyeleweng daripada akidah Islam sebenar.
Keputusan hasil mesyuarat khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 30 September lalu itu sudah disembah maklum kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk diperkenankan.
Menerusi kenyataan di muatnaik di Facebook rasmi Selangor Royal Office hari ini, sembah maklum berkenaan dibuat Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Selangor yang juga Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir, di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.
“Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor sudah berpuas hati dan meyakini bahawa pemimpin, pengikut, pekerja atau ahli GISBH dan rangkaiannya telah dan masih mengamalkan Aurad Muhammadiah atau Zikir Agung.
“(Ini) yang dibawa oleh kumpulan Darul Arqam yang sudah diputuskan menyeleweng daripada akidah Islam yang sebenar menurut Warta No. 54 yang disiarkan pada 4 Februari 1993,” menurut kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu lagi, fahaman, ajaran, pegangan atau amalan GISBH dan rangkaiannya mempunyai ciri-ciri menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar menurut pegangan Ahli Sunah Waljamaah dari aspek akidah dan syariat.
“Apa-apa variasi, bentuk atau cabang mana-mana fahaman, ajaran, pegangan atau amalan baru yang mempunyai persamaan dengan semua atau sebahagian daripada elemen-elemen fahaman, ajaran, pegangan atau amalan ini adalah disifatkan menyeleweng.
“Ini seterusnya bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar menurut pegangan Ahli Sunah Waljamaah,” katanya.
Jabatan Mufti Negeri Selangor akan menghuraikan butiran lanjut mengenai fatwa terkini ini.
Sebelum ini, Sultan Selangor kesal dan kecewa berikutan isu membabitkan GISBH sudah berlanjutan dalam tempoh lama dan tiada tindakan berkesan diambil bagi menangani perkara terbabit.
Dalam satu kenyataan rasmi Istana Alam Shah Klang pada 21 September lalu, Sultan Sharafuddin bertitah semua perbuatan jenayah membabitkan penderaan terhadap pelajar, eksploitasi terhadap kanak-kanak, buruh paksa, kesalahan jenayah seksual serta amalan bercanggah dengan akidah mencemar nama baik dan kesucian agama Islam.
BACA JUGA Pendera kanak-kanak GISBH didakwa esok
Â