Apa makna pelaburan Oracle kepada Malaysia, Tengku Zafrul jelaskan
Pengumuman syarikat teknologi Oracle untuk melabur lebih US$6.5 bilion (RM27 bilion) menandakan potensi Malaysia untuk menjadi hab bagi inovasi teknologi dan pertumbuhan di Asia Tenggara.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, pihaknya amat mengalu-alukan pelaburan oleh Oracle di Malaysia.
Menurutnya, pelaburan tersebut akan memperkasakan entiti Malaysia, terutama perusahaan kecil dan sederhana, dengan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi awan yang inovatif dan termaju untuk meningkatkan daya saing global mereka.
Beliau berkata, pelaburan itu juga merupakan langkah penting ke arah merealisasikan aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia untuk mewujudkan 3,000 kilang pintar pada 2030.
“Keputusan Oracle untuk mewujudkan wilayah awan awam di Malaysia menekankan ketersediaan infrastruktur Malaysia dan kedudukan negara yang semakin kukuh sebagai destinasi utama Asia Tenggara bagi pelaburan digital,” kata Tengku Zafrul.
Untuk rekod, Oracle Corporation merupakan syarikat teknologi komputer multinasional Amerika Syarikat (AS) yang beribu pejabat di Austin, Texas.
Pada tahun 2020, Oracle ialah syarikat perisian ketiga terbesar di dunia berdasarkan hasil dan permodalan pasaran.
Menerusi rekod terkini, Oracle menduduki tangga ke-77 dalam Forbes Global 2000.
BACA JUGA Ringgit berprestasi terbaik dunia hasil gandingan ‘The dream team’