Universiti Pakistan buat konvokesyen khas untuk beri PhD kepada PMX

Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima menerima ijazah kehormat doktor falsafah (PhD) di Universiti Sains dan Teknologi Kebangsaan (NUST) Pakistan semasa Lawatan Negara ke negara itu.

Anugerah tersebut diberikan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan Perdana Menteri dalam bidang pendidikan, intelektualisme Islam dan dasar-dasar beliau yang memperkukuh hubungan antara dunia Islam.

Beliau turut diberi penghormatan menyampaikan syarahan di universiti berkenaan, antara lain menyentuh tema perpaduan Islam, keadilan sosial dan masa depan kepimpinan dalam dunia Islam yang dinamik.

“Sewaktu syarahan umum, saya tekankan keperluan untuk Malaysia dan Pakistan bekerjasama dalam memerangi ekstremisme radikal dan keganasan melalui perkongsian risikan dan inisiatif secara bersama.

“Saya juga menekankan kepentingan memperkasakan belia dan wanita dan menekankan hubungan yang berakar umbi antara kedua-dua negara,” kata Perdana Menteri menurut kenyataan di media sosial rasmi beliau.

Perdana Menteri tiba di Islamabad malam 2 Oktober lalu untuk lawatan kerja yang kemudian dinaik taraf kepada Lawatan Negara selama tiga hari oleh Kerajaan Pakistan.

Beliau disambut sendiri oleh Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif sejurus tiba di Pangkalan Udara Nur Khan, Rawalpindi, sebaik tiba dengan pesawat khas.

Datuk Seri Anwar Ibrahim disambut oleh Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif di Lapangan Terbang Nur Khan Rawalpindi, Islambabad Pakistan pada 2 October lalu.

Anwar antara lain diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan.

Di Pakistan, Anwar turut menghadiri sesi temu bual eksklusif bersama Pakistan Television Corporation (PTV), diikuti sambutan rasmi di Kediaman Perdana Menteri Shehbaz Sharif.

Perbincangan dua hala antara kedua-dua pemimpin menyentuh kerjasama ekonomi, teknologi dan pembangunan serta isu-isu serantau.

Dalam jadual Perdana Menteri yang padat itu, Anwar juga menghadiri pertemuan dengan pemain industri Pakistan dalam usaha meneroka peluang perdagangan yang boleh dimanfaatkan oleh usahawan Malaysia di negara itu, selain menjemput tokoh perniagaan Pakistan melabur di Malaysia.

BACA JUGA Ringgit berprestasi terbaik dunia hasil gandingan ‘The dream team’