Dah pun didatangi ‘tetamu’, ramai nasihat Pak Latip tawaqquf dari menulis isu GISBH

Seorang pengarang yang pernah menulis buku bertajuk, “Ashaari Muhammad: Pengarang, Pemimpin, Pendakwah” dinasihatkan orang ramai agar bertawaqquf (menahan diri) daripada menulis isu Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH).

Abdul Latip Talib memberitahu premis yang menempatkan buku-buku karyanya semalam didatangi sekumpulan penguatkuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Beliau yang dipanggil Pak Latip memberitahu, penguatkuasa terbabit bertanyakan tentang “novel sejarah” mengenai pengasas Al-Arqam itu.

“Setelah dimaklumkan tujuan mereka (penguatkuasa KDN) dating, maka Pak Latip benarkan mereka memeriksa semua buku yang ada di rak buku termasuk dalam stor.

“Mereka tanya juga buku mengenai sejarah hidup Ustaz Ashaari Muhamad. Pak Latip tak jual lagi sebab dah habis stok.

“Akhirnya, mereka ambil buku Maryam Wali Suci dan Syed Mashor Pahlawan Selangor.

“Buku itu tidak dirampas, diambil secara baik jumlahnya dua naskhah saja. Untuk kajian kami. Katanya,” kata pengarang yang banyak meraih hadiah antaranya, Sayembara Cerpen Berunsur Islam dan Hadiah Sastera Utusan itu di Facebook beliau.

Rata-rata menasihati Pak Latip agar segera melakukan ‘gencatan senjata’ dengan menyerahkan hal berkaitan GISBH yang terpalit dengan pelbagai isu jenayah sivil dan syariah kepada pihak berkuasa terbabit.

Antaranya, pengguna Facebook, Baharudin Bmi yang menyeru supaya Pak Latip ‘meletakkan’ pena daripada memperkataka hal-hal berkaitan GISBH kerana dibimbangi termakan diri dengan pihak berkuasa.

“Biarlah pihak berkuasa buat kerja. Pak Latif tentu kenal dan pernah berjumpa dengan Dr Ann Wan Seng.

“Dr Ann yang pernah tidur baring bersama Abuya (Ashaari) pun, bertawaqquf dari menulis tentang isu-isu GISBH,” nasihat Baharudin lagi.

Sementara itu, semakan di laman web Goodreads mengenai ulasan buku “Ashaari Muhammad: Pengarang, Pemimpin, Pendakwah” mendapati ada pembaca memberitahu karya Pak Latip yang diterbitkan pada 2017 itu tidak menceritakan tentang ajaran sesat.

“… saya agak kecewa kerana rupanya novel ini tidak mengupas perihal kontroversi ajaran sesat yang terpalit pada Al Arqam, sebaliknya hanya menyentuh fasa kecil Ashaari sehingga zaman kemuncak dakwah dan tarbiahnya.

“Saya benar-benar ingin tahu penjelasan dan gambaran peristiwa tentang Al-Arqam, mungkin saya perlu mendapatkan naskhah Tersungkur Di Pintu Syurga seperti yang disarankan oleh seorang sahabat pembaca,” tulis Iman Danial Hakim.

Sementara itu, Syawal Ameron pula berkata, “Setakat apa yang ditulis, tiada apa yang menunjukkan Abuya telah lari akidahnya. Wallahua’lam.”

BACA JUGA Anwar jadi ketua kerajaan pertama adakan lawatan rasmi ke Bangladesh

Â