Ini sebabnya Johor perlu mulakan usaha ke arah wujudkan Kerajaan Perpaduan

Oleh DR ZULQARNAIN LUKMAN

Apa yang bagus mengenai PRK DUN Mahkota baru-baru ini adalah mengenai pergerakan demokrasi Malaysia semakin menuju kematangan.

Di negara maju, kebanyakan pertandingan demokrasi akan melibatkan dua parti sahaja.

Umpamanya, di Amerika Syarikat (AS) pertandingan demokrasi akan melibatkan parti Demokratik dan parti Republican.

Di United Kingdom akan melibatkan parti Labour dan Parti Konservatif. Tidak ada satu parti ketiga yang kuat walaupun ada yang bertanding secara bebas.

Parti yang ketiga yang kuat akan menjadi tidak terlalu kuat tetapi akan menjadi pengacau sehinggakan tidak wujud kerajaan yang stabil melainkan ada CSA (Confidence and Supply Agreement)).

Di New Zealand ada tiga parti yang kuat iaitu parti National, Labour dan Green.

Amalan CSA di New Zealand ini sudah menjadi kelaziman sehinggakan ada satu dokumen formal yang dipanggil Cabinet Manual.

New Zealand telah mengamalkan CSA ini dalam beberapa kali pilihan raya iaitu pada tahun 2005, 2008, 2014 dan 2017.

Jika di Malaysia penggal Parlimen adalah setiap 5 tahun tetapi di New Zealand penggal parlimennya adalah setiap 3 tahun.

Di Australia pula lazimnya pertandingan akan berlaku antara dua parti yang kuat iaitu Labor dan Liberal/National Coalition (rupanya ada juga Perikatan Nasional di Australia).

Namun, dalam pilihan raya 2022, Parti Buruh menang mengambil alih daripada Liberal/National Coalition namun tidaklah sehingga mencapai tahap menang besar.

Ada parti kecil lain yang menambah kerusi iaitu bebas dan parti Green (parti Hijau pun ada juga).

Dalam PRU-15 (2022), ada tiga parti besar yang bertanding iaitu PH, BN dan PN.

Akhirnya, BN hanya mendapat tempat ketiga dengan jumlah kerusi yang menang sebanyak 30 kerusi. Atas saranan YDPA, PH dan BN telah bergabung untuk membentuk kerajaan perpaduan.

Dalam PRU-14 (2018), PAS telah menjadi parti ketiga dengan persaingan antara PH + Bersatu dan BN.

Pada masa 2018, PH berjaya membentuk kerajaan tanpa perlu membuat koalisi dengan Pas atau BN.

Namun, jangka hayat kerajaan PH + Bersatu hanya bertahan 22 bulan kerana Bersatu membuat keputusan untuk membentuk kerajaan bersama BN dan Pas melalui Langkah Sheraton.

Sistem demokrasi yang ideal adalah pertembungan pilihan raya antara dua blok sahaja. Pertembungan dua blok ini akan memudahkan pengundi untuk membuat pilihan.

Selain itu, polisi juga akan mudah untuk digubal dan dibahas. Jika ada pihak ketiga maka ianya akan mendatangkan kekacauan politik dan akan wujud undi yang tidak jelas.

Undi yang tidak jelas adalah bersamaan dengan polisi yang tidak jelas. Polisi yang tidak jelas akan menyebabkan pelabur tidak gemarkan negara itu.

Secara majazi, Allah juga mencipta kesempurnaan itu dengan dua blok. Ada lelaki ada perempuan, ada jantan ada betina, ada dosa ada pahala, ada syurga ada neraka, ada laut ada daratan, ada matahari ada bulan.

Dalam beberapa PRK kebelakangan ini kita sudah dapat mewujudkan pertembungan antara dua blok.

Satu blok PH-BN dan satu lagi blok PN. Kita dapat melihat hasil yang jelas daripada pertembungan dua blok itu. Selepas PRU-15, kita sudah ada 12 PRK yang berlangsung:

  1. Padang Serai – PN
  2. Tioman – BN
  3. Kuala Terengganu – Pas
  4. Pulai – PH
  5. Simpang Jeram – PH
  6. Pelangai – BN
  7. Jepak – GRS
  8. Kemaman – Pas
  9. Kuala Kubu Bharu – PH
  10. Sungai Bakap – PN
  11. Nenggiri – BN
  12. Mahkota – BN

Jadi, harapannya kelak dalam PRU-16 biarlah pertembungan pilihan raya itu berlaku antara dua blok sahaja.

Dalam PRK Nenggiri dan Mahkota ini adalah bahan eksperimen yang menunjukkan berlaku kelebihan kepada blok kerajaan sekiranya formula PH-BN ini dikekalkan.

Trend menunjukkan berlaku perpindahan undi oleh pengundi PH kepada BN. Namun begitu, transfer vote oleh pengundi BN kepada PH tidak nampak begitu ketara dalam PRK Sungai Bakap dan Kuala Kubu Baharu.

Kelemahan ini perlu diatasi oleh pemimpin BN untuk meyakinkan pengundi mereka. Sebab itulah pemimpin BN perlu membuat kata sepakat bahawa PRU-16 adalah PRU gabungan PH-BN supaya ahli di bawah dapat menanggapi dinamika politik masa kini.

Walaupun ada komen-komen nakal daripada pemimpin seumpama Nur Jazlan dan Dr Akmal Salleh yang semacam tidak betah dengan kerjasama PH-BN ini dan ada suara-suara yang mahukan BN bertanding sebagai pihak ketiga dalam PRU-16, namun hakikatnya sukar sebenarnya bagi BN untuk terus menang secara solo.

Pergerakan demokrasi ini jarang akan berpatah balik ke belakang. Biasanya perjalanan demokrasi akan kehadapan.

BN bolehlah untuk mengenang nikmat zaman gemilang mereka selama 60 tahun memerintah sendirian namun zaman itu sukar untuk kembali semula. Apatah lagi dalam zaman AI ini segala maklumat sudah di jari.

Jika BN memilih untuk bertanding sendirian, sebenarnya BN memilih untuk melakukan ‘hara kiri’ (bunuh diri secara potong usus perut sendiri dengan pisau atau pedang).

Sebab itulah, BN Johor perlu memulakan usaha untuk ke arah mewujudkan Kerajaan Perpaduan dengan berkongsi kuasa untuk mengelakkan pertembungan tiga penjuru dalam PRN akan datang.

Lebih baik mengambil risiko untuk berkongsi kuasa daripada mengambil risiko kalah dalam PRN akan datang.

BACA JUGA Anwar jadi ketua kerajaan pertama adakan lawatan rasmi ke Bangladesh

Â