Kerajaan mahu ubah status Islam sebagai agama persekutuan? PM Anwar perjelaskan
Kerajaan tidak pernah membincangkan perihal penukaran status agama Islam sebagai agama persekutuan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tuduhan sebegitu dibuat oleh pembangkang dan ia boleh menghasut kebencian.
“Kita tidak pernah membincangkan penukaran prinsip berkaitan Bahasa, Islam, hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera dan kedudukan Raja-Raja Melayu.
“Perkara-perkara tidak pernah dibincang atau dibangkitkan ketika saya menjadi perdana Menteri,” kata beliau ketika melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan di Pusat Konvensyen Ipoh.
Anwar turut menyeru pembangkang agar berhenti menyebarkan berita palsu dan eksploitasi isu agama dan kaum yang boleh menghidupkan kebencian dalam kalangan rakyat terhadap kerajaan.
“Kritik dasar ekonomi, isu berkaitan ringgit atau dakwaan bahawa perdana Menteri kurang cerdik, tetapi kita tidak boleh terima naratif bahawa tindakan kita membahayakan agama dan negara,” kata beliau.
Beliau menambah bahawa pembangkang sepatutnya bekerjasama dengan kerajaan untuk mengekalkan kestabilan dan keharmonian negara.
Tambahnya lagi, kestabilan ekonomi dikagumi kawan dan lawan kerana dasar yang jelas.
“Perbezaan politik itu normal. Semua pihak bebas menyatakan pandangan mereka secara bertanggungjawab. Jika tidak kita akan mewujudkan budaya yang mencemaskan dan menakutkan.”
BACA JUGA: Pas main slogan, bagus sebagai parti semak dan imbang sahaja