Lagi wartawan Palestin dibunuh lepas diugut Israel jangan rakam kemusnahan Gaza

Seorang lagi wartawan Palestin, Hassan Hamad dilaporkan terbunuh dalam satu serangan udara Israel ke atas rumahnya di kem pelarian Jabalia, utara Gaza.

Kematian wartawan berusia 19 tahun itu menjadikan jumlah kematian membabitkan petugas media meningkat kepada 175 orang, lapor Agensi memetik pejabat media kerajaan Gaza.

Sementara itu menurut Al Jazeera, pembunuhan tersebut dilakukan tentera Zionis beberapa hari selepas wartawan itu berkata, dia telah diberi amaran oleh seorang pegawai Israel untuk berhenti merakamkan visual kemusnahan yang berlaku di Gaza.

Rakan-rakan dan pejabat media kerajaan di Gaza mengesahkan kematian Hassan, dengan memberitahu, rumah wartawan itu sengaja diserang untuk memastikan dia berdiam diri selepas menerima ancaman.

“Hassan Hamad, wartawan yang tidak sempat menyambut hari lahir ke-20, selama setahun menentang (peperangan) dengan caranya sendiri. 

“Dia menentang perang dengan menjauhkan diri daripada keluarganya supaya mereka tidak menjadi sasaran.

“Dia menentang ketika dia bergelut untuk mencari isyarat internet, berada di bumbung rumahnya selama satu atau dua jam semata-mata untuk menghantar video kepada anda (pembaca) dalam beberapa saat,” kata satu hantaran di akaun X Hamad yang dimuat naik oleh rakan sekerjanya.

Sejak lebih setahun lalu, Hassan telah mendokumentasikan perang Israel di Gaza dan bekerja sebagai wartawan TV bebas.

Menurut wartawan Palestin, Maha Hussaini, beberapa hari sebelum kematian Hassan, mangsa telah diancam oleh seorang pegawai Israel melalui mesej WhatsApp dan beberapa panggilan mengarahkan dia untuk berhenti merakamkan visual di Gaza.

BACA JUGA Rekaan terbaru vape bentuk pen marker, gam uhu cetus kebimbangan