Rekaan terbaru vape bentuk pen marker, gam uhu cetus kebimbangan
Trend menghisap rokok elektronik iaitu vape dalam kalangan pelajar sekolah semakin meresahkan.
Terbaru, rekaan rokok elektronik dengan bentuk yang menyerupai marker, gam uhu dan pensil 2B dikhuatiri mampu mengaburi mata ibu bapa dan guru-guru.
Public Health Malaysia dalam perkongsian di X meminta agar ibu bapa dan guru-guru berwaspada dengan rekaan terbaru vape yang mungkin dibawa oleh pelajar ke sekolah.
“Mohon ibu bapa dan guru guru tolong alert dengan design vape. Sekali pandang memang nampak macam pen marker dan gam uhu. Reka bentuk pensil 2B pun ada!”.
Inovasi pihak pengusaha rokok elektronik ini dibimbangi boleh menjejaskan masa depan remaja jika produk itu boleh didapati dengan mudah.
Untuk rekod, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menguatkuasakan Akta 852 yang turut terpakai kepada rokok elektronik.
Penguatkuasaan itu antara lain melibatkan larangan penjualan produk merokok yang berbentuk permainan dan menarik perhatian kanak-kanak serta remaja untuk mengekang keboleh dapatan produk tersebut.
Bermula 1 Oktober juga, semua produk merokok perlu didaftarkan kepada KKM bagi mendapatkan kelulusan sebelum boleh diedarkan di pasaran.
BACA JUGA Akta Kawalan Produk Merokok: Kesedaran meningkat tapi perlukan penjelasan lanjut
Â