Penukaran cuti hujung minggu akan sokong pertumbuhan ekonomi negara, kata pengerusi DAP Johor baharu
Pengerusi DAP Johor baharu Teo Nie Ching menyambut baik pengumuman Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail berkenaan penukaran cuti hujung minggu kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025.
Ini kerana perubahan cuti hujung minggu tersebut akan menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
“Setinggi-tinggi penghargaan kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail sebagai Pemangku Sultan Johor atas pengumuman yang dibuat sebentar tadi.
“Tempoh masa yang diberikan sebelum pelaksanaan cuti hujung minggu yang baharu ini juga patik rasakan amat berpatutan bagi jentera kerajaan, swasta dan pelbagai pihak membuat perbincangan penyelarasan agar pelaksanaannya berjalan lancar.
“Besar harapan patik agar perubahan yang akan dilaksanakan ini mampu menarik lebih ramai pelaburan asing sebagai usaha negeri ini menyokong pertumbuhan ekonomi negara, apatah lagi setelah Johor dilaporkan merekodkan nilai dagangan berjumlah RM753 bilion iaitu bersamaan 29% daripada jumlah keseluruhan perdagangan negara pada tahun 2023.”
Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan yang diterbitkan di halaman Facebook.