Ini respon positif Menteri Kewangan II tentang ekonomi negara
Ekonomi negara menunjukkan kemajuan yang ketara selepas setahun kerajaan melaksanakan pelan Ekonomi MADANI, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata, transformasi ekonomi negara jelas semakin pesat terutama ketika Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatat pertumbuhan sebanyak 5.9 peratus pada suku kedua 2024
Beliau percaya Malaysia ketika ini berada di landasan yang tepat untuk melepasi sasaran pertumbuhan nasional sebanyak 4.0 hingga 5.0 peratus tahun ini.
“Transformasi ekonomi negara kita jelas semakin pesat, walaupun menghadapi pelbagai cabaran seperti kekurangan tenaga, polarisasi politik, jurang sosio-ekonomi yang semakin meluas, dan ketegangan geopolitik yang berterusan.
“Namun, selepas setahun melaksanakan pelan Ekonomi MADANI, kita melihat tanda-tanda kemajuan yang ketara.
“Saya percaya kita semua berkongsi keyakinan bahawa Malaysia berada di landasan yang betul untuk melepasi sasaran pertumbuhan nasional sebanyak 4.0 hingga 5.0 peratus pada tahun 2024,” katanya memetik Berita Harian, ketika berucap pada majlis penutup Forum Khazanah Megatrend (KMF) 2024, hari ini.
Beliau menyebut beberapa faktor yang menyumbang kepada kepesatan ekonomi negara antaranya penurunan inflasi kepada 1.9 peratus setakat Ogos dan prestasi FBM KLCI.yang mencapai paras tertinggi sepanjang masa dalam modal pasaran melebihi RM2 trilion pada Jun tahun ini.
Ringgit juga terus mengatasi mata wang serantau, pulih sebanyak 12.5 peratus sejak Februari tahun ini yang diyakininya didorong faktor pengurusan fiskal Malaysia yang cekap serta inisiatif kerajaan untuk menarik pelaburan.
BACA JUGA Jangan usik komponen parti Kerajaan Perpaduan – Ahmad Zahid
Â