Agensi penguatkuasaan disatukan, agenda reformasi sektor beras antara usaha baharu Kementerian Pertanian

Tujuh agensi penguatkuasaan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan disatukan di bawah satu entiti baru.

Menurut menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu tujuh agensi tersebut ialah Kawalselia Padi dan Beras, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia, Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan, FAMA, LKIM dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Selain itu Mohamad turut mengumumkan pengasingan kuasa untuk Tindakan penguatkuasaan dan peraturan baharu sebagai agenda reformasi sektor padi dan beras negara.

Pengasingan kuasa akan membabitkan Bahagian Pembangunan Industri Padi (PIP), Kawalselia Padi Beras (KPB) dan wakil kerajaan dalam PadiBeras Nasional (BERNAS).

“Seterusnya adalah pengenalan Peraturan Melarang Campuran Beras Putih Tempatan dengan Beras Putih Import. Pekeliling mengenai peraturan ini akan dikeluarkan dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika perhimpunan bulanan kementeriannya pagi ini.

Turut diumumkan ialah cadangan kerajaan untuk menamatkan subsidi telur ayam setelah bekalannya pulih.

Penjimatan subsidi itu dapat dimanfaatkan untuk membangunkan sektor agromakanan lain yang lebih mendesak, katanya.

BACA JUGA: Beras kekal makanan ruji, jamin Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan

Â