Ahmad Fauwaz Fadzil ketuai pemulihan kanak-kanak GISBH

Anak kepada bekas Presiden Pas, Allahyarham Fadzil Mohd Noor dilantik untuk mengetuai jawatankuasa bagi membentuk modul silibus pemulihan akidah kanak-kanak GlSB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil, 43, merupakan Ahli Lembaga Pengarah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Beliau dengan kepakaran dalam fiqah perundangan Islam terlibat dalam banyak jawatankuasa syariah institusi kewangan dan badan bukan kerajaan di negara ini.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, Ahmad Fauwaz dipilih mengetuai enam pakar akidah dalam jawatankuasa terbabit.

“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diamanahkan untuk membangunkan modul silibus pemulihan mereka yang diselamatkan ini dan kita menubuhkan jawatankuasa bagi tujuan itu.

“Ahmad Fauwaz adalah individu yang mempunyai kepakaran dalam bidang akidah dan begitu juga ahli jawatankuasa yang lain,” katanya.

Mohd Na’im berkata demikian selepas perasmiaan World Quran Symposium 2024 sempena Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-64 1446H/2024M, di ibu negara hari ini.

BACA JUGA Di mana 4 murid tahfiz Datuk Keramat ini berada?