Mangsa banjir Kedah terus meningkat cecah 3,581 orang, 5 sungai lepasi paras bahaya
Banjir Kedah menyaksikan jumlah mangsa terus meningkat kepada 3,581 orang daripada 1,179 keluarga sehingga pukul 7.51 pagi tadi.
Mereka ditempatkan di 23 pusat pemindahan sementara (PPS) membabitkan empat daerah iaitu Kubang Pasu dengan sembilan PPS, Kota Setar (8), Pokok Sena (4) dan Pendang dua PPS.
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mencatatkan jumlah mangsa tertinggi di Kubang Pasu iaitu seramai 1,387 orang daripada 493 keluarga.

Ia diikuti Kota Setar seramai 1,233 orang daripada 386 keluarga; Pokok Sena seramai 528 orang daripada 187 keluarga manakala seramai 433 orang daripada 133 keluarga di Pendang.
Dalam masa sama, lima sungai di Kedah melepasi paras bahaya dengan hanya Sungai Padang Terap di Kepala Batas, Kubang Pasu dengan trend menurun.
Empat sungai lagi dengan trend menaik setakat jam 8 pagi tadi ialah Sungai Titi Kerbau di Kubur Panjang, Pendang; Sungai Anak Bukit di dua lokasi iaitu Taman Aman dan Jambatan TAR di Kota Setar serta Sungai Bata di Kubang Pasu.
Kedah pada masa ini berdepan gelombang ketiga bencana banjir dengan jangkaan fenomena air pasang pada 18 hingga 20 Oktober nanti.
BACA JUGA Lima perkara dilakukan Anwar sehingga diangkat pemimpin Islam paling berpengaruh
Â