Tragedi berdarah dirempuh depan kampus, UiTM berdukacita kematian tiga pelajarnya
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Terengganu hari ini mengesahkan kemalangan membabitkan empat orang pelajarnya yang berlaku di jalan berhadapan kampus itu.
Tiga mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
Mereka ialah Khairil Anwar Jamaludin, Muhammad Akmal Md Tukirin dan Ku Adib Aizad Ku Azmi.
Manakala seorang lagi cedera parah ialah Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan yang kini sedang dirawat di Hospital Dungun dan akan dipindahkan ke Hospital Nur Zahirah untuk rawatan lanjut.
“Pihak universiti berdukacita atas kejadian yang berlaku dan menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga pelajar terlibat.
“Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh arwah pelajar dan semoga Allah permudahkan urusan keluarga pelajar,” katanya dalam satu kenyataan.
Ketika kejadian, semua mangsa dikatakan baru selesai makan malam di sebuah kedai makan berhampiran universiti berkenaan.
Kejadian dipercayai berlaku apabila sebuah Honda CRV dipandu seorang wanita merempuh bahagian belakang kedua-dua motosikal yang ditunggang keempat pelajar tersebut.
Rempuhan berkenaan menyebabkan seorang daripada mangsa tercampak ke longkang. CRV itu turut terbabas dan masuk ke longkang berhampiran.
Pada masa sama, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengucapkan takziah kepada keluarga pelajar yang terlibat dalam kemalangan maut tersebut
“Salam takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Khairil Anwar Jamaludin, Allahyarham Muhammad Akmal Md Tukirin dan Allahyarham Ku Adib Aizad Ku Azmi.
“Semoga roh kesemua mereka dicucuri rahmat Allah dan ditempatkan bersama mereka yang beriman. Semoga seluruh ahli keluarga tabah dan sabar menempuhi ujian ini,” titipnya.
Polis dilaporkan sudah pun menahan pemandu wanita yang merempuh empat pelajar berkenaan.
Wanita itu dikatakan tidak siuman.
BACA JUGA Ulama Pas nafi nak tolong Fazura, itu akaun palsu