Menjelang Belanjawan 2025: Apa ‘hadiah’ dinantikan Gen Z dari kerajaan?

Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan 18 Oktober nanti oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka bakal menjadi tumpuan utama rakyat Malaysia dan media antarabangsa.

Ini merupakan pembentangan belanjawan MADANI yang ketiga sejak Kerajaan Perpaduan menguasai Putrajaya pada 2022.

Belanjawan kali ini dijangka mendapat liputan meluas berikutan ia diadakan dalam keadaan ringgit Malaysia melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh 34 bulan.

Bagi anak muda, dalam keadaan ekonomi semakin memulih dengan banyak negara mula memandang Malaysia, mereka berpendapat isu gaji sepadan, peluang pekerjaan dan perumahan menjadi isu terbesar yang perlu ditangani kerajaan.

Alia Aznan, 29

Salah seorang pengurus di sebuah syarikat swasta di Perak, Alia Aznan, 29, berharap gaji minimum bagi graduan lepasan universiti sama ada bekerja di sektor swasta atau awam, diselaraskan.

Menurutnya, gaji graduan lepasan Ijazah Sarjana Muda perlu ditetapkan pada kadar permulaan RM3,000, selain mahukan kerajaan merangka peraturan baharu berkenaan bonus tahunan pekerja termasuk pekerja swasta yang mempunyai kaitan dengan kerajaan.

Menyedari peranan besar dimainkan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) dan MySTEP yang banyak berkolaborasi dengan agensi serta jabatan kerajaan, Alia menyatakan harapan supaya kerajaan dapat mempertimbangkan untuk menyerap kakitangan sebagai penjawat awam.

“Sebagai anak muda yang dekat dengan komuniti B40 dan golongan berpendapatan rendah khususnya di luar bandar,  besar harapan saya terhadap kerajaan agar mempertimbang kenaikan tahunan gaji untuk semua pekerja linked dengan kerajaan. 

“Ini dapat menaikkan motivasi dan kualiti kerja rakyat Malaysia. Selain itu perlu ada rancangan untuk menyerap kakitangan di syarikat berkaitan kerajaan seperti NADI dan MySTEP yang kebanyakannya anak muda ke status penjawat awam,” katanya kepada Harapan Daily.

Selain itu, graduan lepasan UiTM itu berkata, kerajaan diharap dapat mengkaji semula proses pengambilan penjawat awam khususnya melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam kerana menurutnya format peperiksaan psikometrik agak sukar dan tiada peraturan tetap.

“Calon tidak mampu menunjukkan kemampuan intelektual kerana ujian ini lebih ke arah psikologi dan bersifat subjektif. 

“Saya juga berharap kerajaan menyediakan insentif untuk pembelian rumah dengan harga mampu milik khususnya untuk golongan belia B40 dan berumur 30 tahun dan ke bawah,” ujarnya lagi.

Muhammad Fikri, 25

Sementara itu bagi seorang penghantar makanan Grabfood, Muhammad Fikri Mahmud, 25, dia mengharapkan kerajaan dapat menyediakan peluang pekerjaan yang setaraf kelayakan memandangkan ramai menganggur dan terpaksa bergantung kepada kerja-kerja seperti e-hailing.

Hari ini juga Bank Dunia mengeluarkan laporan bahawa lebih daripada satu perempat pemegang ijazah di Malaysia bekerja dalam bidang pekerjaan yang tidak setaraf kelayakan mereka.

Muhammad Fikri turut berharap harga minyak petrol RON95 dapat dikekalkan kepada golongan e-hailing sepertinya.

“Sebagai rakyat dan juga rider grabfood mengharapkan agar harga minyak dapat dikekalkan, dan mungkin diturunkan lagi.

“Seterusnya, saya berharap agar kerajaan dapat menyediakan peluang pekerjaan dengan gaji yang lebih besar sesuai dengan kos sara hidup masa kini,” katanya ketika ditemui.

Umi Salmah, 29, (empat dari kanan)

Sementara bagi Umi Salmah, 29, dia turut sependapat berkenaan peluang pekerjaan yang setaraf dengan kelayakan.

Dia juga berharap kerajaan meneliti kembali proses kelulusan permohonan rumah kos rendah kepada mereka yang betul-betul layak dan bukan kepada mereka yang sudah sedia kaya.

“Kerajaan diharap dapat memastikan harga barang tidak meningkat kerana kos sara hidup ketika ini agak menggerunkan. 

“Sediakan peluang pekerjaan yang luas dengan memfokuskan kepada yang betul-betul layak dengan kelayakan mereka dan bukan yang menggunakan ‘pintu belakang’,” tegasnya.

BACA JUGA Media Indonesia tanya macam mana Malaysia tarik pelaburan syarikat gergasi?

Â