Beri sokongan penuh kepada Abdullah Sani pimpin KLFA
OLEH: KHALID SAMAD
Kongres KLFA tahun ini, di mana akan berlaku pemilihan Presiden dan pasukan kepimpinan KLFA, menimbulkan minat lebih dari biasa kerana wujudnya ‘dua pasukan’ yang sedang bersaing untuk mendapat sokongan dari perwakilan Kongres. Kongres ini akan diadakan esok Sabtu 12hb Oktober dan perwakilan terdiri dari 27 kelab gabungan.
Sebagai mantan Presiden yang telah berusaha sejak 2020 untuk melonjakkan prestasi pasukan KL City FC di liga bolasepak Malaysia, saya amat mengharapkan perwakilan akan membuat pilihan tepat supaya prestasi KL City FC di Liga Super dapat terus dilonjakkan sehingga mencapai kejayaan yang lebih cemerlang. Dengan kejayaan di Liga Super sokongan kewangan terhadap KLFA akan dapat ditingkatkan lagi, sama ada dari pihak kerajaan atau swasta.
Setelah melihat senarai calon atau ‘cai’ yang bertanding saya ingin menyatakan sokongan terbuka terhadap barisan kepimpinan yang diketuai Datuk Abdullah Sani, pemangku Presiden sedia ada. Dia merupakan seorang yang mempunyai wawasan yang sama dengan saya berhubung peranan dan tanggungjawab KLFA serta betapa pentingnya KL City FC dalam membangunkan industri sukan bolasepak di Kuala Lumpur. Sambil itu, hubungan politiknya terhadap pimpinan kerajaan sedia ada, khususnya DSAI diketahui semua.
Barisan kepimpinan bersamanya terdiri daripada individu-individu yang mempunyai latar belakang perniagaan, termasuk Datuk Afdlin Shauki dan Datuk Azril, kedua-duanya calon Timbalan Presiden. Pasukannya merupakan gandingan mantap di antara ahli politik, perniagaan dan ahli sukan dan saya yakin mereka mampu meneruskan prestasi cemerlang KL City dan pasukan-pasukan di bawah jagaan KLFA.
Masalah terbesar yang dihadapi KLFA adalah kewangan, dan sumber utamanya, buat masa ini, semestinya DBKL. Sebenarnya sumbangan DBKL semenjak naiknya Kerajaan Perpaduan telah bertambah di mana pada 2023 ianya berjumlah RM 8 juta kesemuanya. Ini merupakan peningkatan sebanyak 60% dari jumlah RM 5 juta pada tahun 2020, 2021 dan 2022. Malangnya atas sebab politiking yang dilakukan sebahagian exco, sumbangan DBKL setakat ini untuk tahun ini merupakan sumbangan terendah dan terkecil sepanjang 5 tahun kebelakangan ini! Ini semua disebabkan politiking kerana pemilihan yang akan diadakan.
Tahun 2024 bermula dengan sangat pelik di mana tiada apa-apa sumbangan sehingga hujung Mac dan hanya setelah saya meletak jawatan sebagai Presiden KLFA. Selepas perletakan jawatan maka RM 3 Juta diterima tetapi malangnya, sejak itu sehingga sekarang, disumbangkan hanya RM 1 Juta sebagai tambahan. Kini sudah bulan Oktober dan sumbangan DBKL hanya sekadar RM 4 Juta. Adalah diharapkan jumlah RM 4 Juta lagi dapat disumbangkan untuk menjadikan jumlah sumbangan tahunan mencecah RM 8 Juta seperti pada 2023.
Ini akan hanya berlaku dengan adanya hubungan yang rapat antara Presiden KLFA dan Menteri Wilayah serta Datuk Bandar yang baharu. Dan lebih penting lagi hubungan dengan Perdana Menteri sendiri. Dalam soal ini kedudukan Datuk Abdullah Sani jauh lebih mantap berbanding pihak satu lagi.
Hasil hubungan perniagaan baik dengan berbagai pihak dan keyakinan peniaga terhadap kumpulan yang dipimpin Datuk Abdullah Sani, saya dimaklumkan ada pihak telah membayar RM 1.5 Juta sebagai pendahuluan untuk membeli 51% saham syarikat pemilik KL City FC. Bayaran ini baharu sahaja diterima oleh KLFA beberapa jam sebelum ini. Ini berlaku setelah mereka mendengar wawasan kepimpinan Datuk Abdullah Sani dan pasukannya pada satu majlis makan malam di sebuah hotel di Kuala Lumpur. Munculnya sahaja Datuk Abdullah Sani sebagai presiden, beberapa pelabur dan penaja akan turut bersama.
Pasukan yang dibawa Datuk Abdullah Sani kelihatan mantap dan bersatu hati. Tidak seperti pasukan yang saya pimpin dimana sebaik sahaja saya tidak lagi menjadi Menteri Wilayah telah kedengaran desas-desus meminta saya letak jawatan. Sebahagian sentiasa berusaha menggagalkan perancangan sebahagian yang lain, yang bersama saya, sehingga dilakukan laporan SPRM pada 2022 kerana kononnya adanya penyelewengan. Sehingga dirampas fail dan dokumen oleh SPRM untuk dikembalikan dua tahun kemudian dengan dikatakan, “sebenarnya tiada apa-apa masalah”.
Saya dengar masih ada yang mendakwa, “kalau kami menang, akan kami bongkar segala penyelewengan yang dilakukan pimpinan KLFA!” Kenapa perlu menang baru nak bongkar? Dan bukankah SPRM telah nyatakan tiada apa² kes? Corak politik murahan yang memainkan persepsi dan sensasi seperti bisingnya tong kosong untuk menang pemilihan.
Namun, dengan masalah perpecahan dalaman yang parah ini sekalipun, KL City tetap telah menunjukkan prestasi cemerlang. Sudah pasti prestasinya lebih hebat kalau tiada perpecahan sedemikian.
Malangnya kehendak mereka untuk mengkhianati kepentingan KLFA dan KL City FC akhirnya tercapai menjelang 2024. Duit sumbangan berjaya disekat dan pemain dan kakitangan dijadikan mangsa. Maka dikatakan pengurusan lemah, sedangkan mereka yang menyekat. Hasil politiking ini juga menyebabkan pasukan KL City yang sepatutnya di tangga nombor 3 sekarang berada di nombor 8 setelah ditolak 6 mata.
Pasukan Datuk Abdullah Sani saya lihat bebas dari pengkhianatan dan perpecahan ini dan dengan bersatunya hati kepimpinan KLFA, di bawah kepimpinan Datuk Abdullah Sani, sudah pasti pencapaian KLFA dan KL City FC akan lebih cemerlang.
Khalid Samad ialah mantan presiden KLFA, mantan Menteri Wilayah Persekutuan dan Pengarah Komunikasi AMANAH
BACA JUGA: Dilema uruskan KLFA – Bahagian 1