Cuti Jumaat bukan ukuran keislaman, henti polemikkan cuti Sabtu, Ahad

Pemimpin DAP Johor mengingatkan semua pihak untuk tidak sewenang-wenangnya mengaitkan titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berkenaan cuti hujung minggu sebagai mewarisi peninggalan penjajah.

Naib Pengerusinya, Sheikh Umar Bagharib Ali mengingatkan bahawa sistem demokrasi, pilihan raya serta Parlimen juga semuanya diwarisi dari penjajah.

Beliau mempersoal apa sebenarnya mesej yang cuba disampaikan golongan ini kepada masyarakat kerana soal cuti pada hari Jumaat bukanlah ukuran keislaman seseorang.

“Sememangnya ada cabaran yang perlu diatasi berkaitan penukaran ini memandangkan Johor mengamalkan cuti hujung minggu Jumaat dan Sabtu sejak 10 tahun lalu. 

“Namun ia tidak boleh menjadi lesen kepada mana-mana pihak dengan semudah-mudahnya memanipulasi perlaksanaan cuti Sabtu dan Ahad ini dengan konotasi negatif.

“Sekiranya kita bimbang penukaran hari cuti dari Jumaat kepada Ahad seakan-akan menghakis ‘keIslaman’, itu tidak benar sama sekali,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata Sheikh Umar, bukan segala perkara yang ditinggalkan oleh penjajah atau apa-apa juga pengamalan golongan terdahulu sebagai suatu yang tidak baik. 

Beliau menasihatkan pihak-pihak tertentu untuk mengambil pengajaran dari hadith “Hikmah itu adalah barang yang hilang dari orang mukmin, ambillah ia jika kalian temui”.

Meski ramai ulama menyatakan hadith ini sebagai lemah, namun umum nas-nas dari Al-Quran dan Hadith yang lain telah menyokong intipati hadith ini yang membawa maksud; Apa sahaja perkataan atau tindakan yang bermanfaat meskipun bukan dari tradisi Islam, tetap boleh digunapakai asal ia tidak bercanggah dengan nas.

Dalam kenyataan sama, bekas ADUN Paloh itu memetik ayat 9 Surah Al-Jumu’ah, di mana Allah mengarahkan orang beriman agar bersegera menunaikan solat Jumaat dan meninggalkan aktiviti jual beli apabila mendengar azan. 

Bahkan ayat berikutnya telah menyeru orang beriman supaya kembali bertebaran di muka bumi untuk menjalankan urusan dan mencari apa sahaja yang dihajati dari limpah kurnia Allah.

“Ini bermakna, bukan soal cuti pada hari Jumaat yang menjadi ukuran keIslaman, akan tetapi menjurus kepada ibadah khusus solat Jumaat itu sendiri.

“Dalam hal ini, kita tidak bimbang kerana titah Pemangku Sultan Johor cukup jelas agar semua syarikat-syarikat swasta, pihak kerajaan serta pihak yang berkaitan memberi ruang dan masa yang secukupnya untuk orang Islam menunaikan solat Jumaat pada waktunya,” katanya lagi.

BACA JUGA Media Indonesia tanya macam mana Malaysia tarik pelaburan syarikat gergasi?

Â