Buat yang kritik pengumuman cuti hujung minggu Johor, ini jawapan Tunku Ismail

Ekoran daripada pengumuman Pemangku Sultan Johor, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail bahawa Johor akan melaksanakan cuti hujung minggu Sabtu dan Ahad mulai 1 Januari 2025, ada segelintir yang telah mengkritik pengumuman tersebut.

Malam tadi Tunku Ismail membalas kritikan tersebut.

“Ada beberapa negeri masih kekal bercuti hari Jumaat dan Sabtu.

“Dalam mempertimbangkan isu berkaitan kehendak rakyat Johor untuk meluangkan lebih masa bersama keluarga dan anak-anak, kesan ekonomi yang positif adalah seiring dengan pelaksanaan projek pembangunan yang memberi manfaat di negeri Johor. Ini seterusnya akan membawa keuntungan kepada negeri dan rakyatnya.

“Dengan izin dan restu KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, pandangan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor, Kerajaan Negeri, agensi-agensi kerajaan dan rakyat, maka saya telah membuat keputusan untuk Johor bercuti semula pada Sabtu dan Ahad.

“Jika ada pihak yang kurang senang atau tidak berpuas hati demi agenda peribadi, nak melaga-lagakan rakyat atau kepentingan politik, anda dipersilakan pindah ke negeri-negeri yang masih bercuti Jumaat dan Sabtu,” Tunku Ismail bertitah demikian menerusi akaun Facebook baginda.

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim merupakan antara pihak yang membantah penukaran hujung minggu tersebut.

Kedah, Kelantan dan Terengganu masih mengekalkan hujung minggu pada hari Jumaat dan Sabtu.

BACA JUGA: Penyelarasan semula cuti hujung minggu di Johor tidak akan ketepikan urusan solat Jumaat