Tular bukti pengganas Israel tembak jurukamera Al Jazeera, Fadi al-Wahidi kini kritikal

Tentera pengganas Israel terbukti sengaja menyasarkan tembakan ke arah pengamal media meskipun memakai jaket terpampang ‘Press’.

Fadi al-Wahidi yang ditembak tepat di leher ketika membuat liputan dari Jabalia di utara Gaza pada masa ini dilaporkan dalam keadaan kritikal.

Pemuda berkenaan menjadi jurukamera Al Jazeera kedua yang diserang Israel minggu ini, lapor saluran berita  yang beribu pejabat di Doha, Qatar itu.

Sementara itu, wartawan Palestin Hossam Shabat menyiarkan gambar Fadi di atas pengusung hospital di Hospital al-Ahli bersama Tamer Labad, seorang wartawan saluran TV al-Aqsa.

“Mereka berada dalam keadaan kritikal, dan tidak banyak rawatan disediakan untuk mereka di sini. Tolong doakan mereka dan kami,” tulis Shabat di X.

Fadi al-Wahidi rebah selepas ditembak pengganas Israel di Jabalia, utara Gaza.

Jumlah wartawan Palestin yang terbunuh sejak genosid di Gaza bermula pada 7 Oktober tahun lalu telah mencecah 175 orang, menurut pejabat media kerajaan Gaza.

Sekurang-kurangnya 42,065 rakyat Palestin terkorban setakat ini akibat keganasan genosid dilakukan Israel di Gaza sejak Oktober tahun lalu.

Walaupun resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) menyeru gencatan senjata segera, Israel terus melancarkan serangan tanpa henti di Semenanjung Gaza.

Israel turut berdepan tuduhan melakukan genosid oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa berhubung keganasannya di Gaza.

BACA JUGA Taufan Milton ganas membadai Florida, aksi degil lelaki ini mengejutkan