Belanjawan 2025: Peniaga kecil harap barang mentah dikawal, subsidi diperluaskan

Menjelang belanjawan 2025 pada 17 Oktober nanti, peniaga kecil mempertaruhkan kepercayaan yang tinggi agar isu barang mentah dan subsidi dijadikan fokus utama dalam rancangan kewangan kerajaan.

Bagi pemilik gerai makanan Butter & Noodles, Muhammad Rozaidy Roslan, 27, dia khuatir dengan harga barangan mentah yang sekiranya tidak terkawal, bakal memberi kesan besar kepada perniagaan mereka.

Menurutnya, dalam usaha menyediakan harga terbaik buat pelanggan, peniaga kadangkala terbeban dengan harga barang basah seperti makanan laut dan sayur-sayuran yang tidak terkawal.

Muhammad Rozaidy Roslan

Rozaidy yang berniaga di The Stadium Semenyih meletakkan harapan agar kerajaan memperluaskan skop kawalan barangan mentah supaya para peniaga kecil tidak terbeban sekaligus dapat menjual dengan harga yang berpatutan kepada pelanggan.

“Sebagai usahawan kecil, saya juga mengharapkan pihak kerajaan bersama-sama PBT kawasan di setiap negeri dengan bantuan DUN serta Ahli Parlimen untuk memudahkan urusan permohonan lesen penjaja kecil supaya para peniaga dapat berniaga dengan aman dan selamat tanpa gangguan dari pihak PBT sendiri.

“Akhir kata, sebagai anak muda yang baru mulakan perniagaan tahun ini, harap kerajaan ini akan terus stabil supaya kerajaan hari ini dapat melaksanakan dasar-dasar menguntungkan rakyat Malaysia lagi-lagi peniaga kecil macam saya,” katanya lagi ketika ditemui.

Kedai makan milik Zulfaqeh dipenuhi para pelajar

Seorang lagi peniaga kecil di UiTM Tapah, Zulfaqeh Awis, 31, turut meletakkan harapan agar kerajaan mempertimbang untuk meluaskan lagi skop subsidi bagi barangan runcit yang selalu digunakan peniaga.

Dia yang baru lapan bulan berniaga Nasi Kandar Royale di universiti berkenaan, bercita-cita mahu menyediakan makanan yang murah dan berkualiti kepada pelajar.

Menyedari bahawa minyak masak paket adalah minyak subsidi yang digunakan untuk isi rumah, Zulfaqeh kebiasaannya terpaksa membeli minyak masak botol yang harganya jauh lebih mahal.

“Saya harap ada subsidi untuk barangan runcit. Supaya saya boleh jual murah. Pelanggan saya kebanyakannya pelajar.

“Contoh minyak masak saya pakai minyak botol sebab minyak subsidi peket tu untuk kegunaan isi rumah. Perbezaan harga minyak peket dan botol sangat lah ketara,” katanya yang memberitahu setakat ini belum pernah lagi mendapat bantuan kerajaan untuk perniagaan pertamanya.

Sementara itu beberapa peniaga lain yang ditemui Harapan Daily berharap kerajaan terus menyokong peniaga-peniaga kecil bertahan dengan cara mengutamakan dan membeli produk dari mereka.

Natasha Nazri, 29, melahirkan kebimbangan dengan nasib peniaga secara atas talian sepertinya yang kemungkinan besar akan kehilangan pekerjaan disebabkan dominasi Ai.

Justeru dia berharap kerajaan mampu menyediakan langkah bagi menyelamatkan peniaga atas talian yang mungkin akan terjejas sehingga tidak boleh cari makan lagi selepas ini.

BACA JUGA Menjelang Belanjawan 2025: Apa ‘hadiah’ dinantikan Gen Z dari kerajaan?

Â