Bantulah dapatkan sumbangan tahunan DBKL untuk KLFA
Bekas presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) Khalid Samad mahu semua pihak membantu mendapatkan sumbangan tahunan DBKL dan baki bayaran perkhidmatan sebagai Duta DBKL untuk menyelesaikan masalah tunggakan gaji dan KWSP yang dihadapi oleh KLFA dan KL City FC.
“Saya harap semua pihak akan membantu mendapatkan baki wang sumbangan tahunan dari DBKL sebanyak RM 2 Juta dan baki bayaran perkhidmatan sebagai Duta DBKL dalam usahanya menjadikan KL Bandaraya Rendah Karbon sebanyak RM 2 Juta lagi.
“Jumlah RM 4 juta ini akan menyelasaikan hampir keseluruhan tunggakan gaji dan KWSP yang sedang dihadapi KLFA dan KL City FC pada masa ini.
“Janganlah ada mana-mana pihak selepas ini menjadikan pemain dan kakitangan KLFA dan KL City FC mangsa mainan politik dengan menyekat sumbangan kewangan DBKL kepada KLFA.
“Wang sumbangan ini sangat diperlukan untuk membayar gaji dan KWSP mereka. Corak politik yang memangsakan pemain dan kakitangan adalah sangat terkutuk dan saya berharap ianya tidak akan berulang lagi.”
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan susulan kemenangan Syed Yazid Syed Omar sebagai presiden KLFA yang baharu.
Syed Yazid telah mengumumkan bahawa tumpuannya sekarang ialah menyelesaikan masalah gaji, KWSP dan hutang yang berkaitan.
Khalid turut menggesa agar usaha mencari pelabur baharu untuk membeli saham syarikat pemilik KL City FC, iaitu KLUFC Sdn Bhd diteruskan.
“Pada 10hb Oktober sebuah syarikat telah membayar RM 1.53 Juta sebagai duit pendahuluan ke arah membeli 51% saham syarikat KLUFC Sdn Bhd. Ini hanya 30% dari jumlah yang perlu dibayar di mana bakinya akan dibayar dalam masa beberapa bulan lagi.
“Dengan penjualan 51% saham ini kos tanggungan KLFA terhadap KL City FC akan dikurangkan sebanyak 51% berbanding sekarang dan baki wang bayaran pembelian saham akan menyelesaikan hampir keseluruhan hutang dan tunggakan KLFA dan KL City FC.”
BACA JUGA: Beri sokongan penuh kepada Abdullah Sani pimpin KLFA
Â