‘Kalau dah kemaruk sangat nak masuk TV…’, Rafizi ‘bahasakan’ Wan Fayhsal
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli tampil membidas Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang dianggap “kemaruk sangat nak masuk TV”.
Sindiran Timbalan Presiden PKR itu selepas Wan Fayhsal menolak pelawaan untuk berdebat menerusi audio siar sebaliknya mahu debat secara langsung di TV arus perdana.
Rafizi berkata, debat menerusi TV adalah mahal kerana perlu membayar masa siaran (airtime) jika di saluran swasta manakala jika menerusi RTM, rakyat pula perlu membayarnya.
“Sebab itu kalau nak debat sangat, debatlah di podcast, tak guna airtime TV.
“Kalau saya layan WAF (Wan Ahmad Fayhsal) nak masuk TV, secara prinsipnya saya kena layan semua ahli arlimen yang cabar debat.
“Kalau dah kemaruk sangat nak masuk TV, WAF boleh dapatkan persetujuan PN (Perikatan Nasional) untuk mewakili kepimpinan PN, atau boleh ulang cadangan cetak wang – confirm seminggu masuk TV,” perli Rafizi menerusi satu hantaran dimuatnaik di platform X.
Kelmarin, Wan Fayhsal mahu berdebat secara langsung dengan Rafizi di TV seperti Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman menerusi Astro Awani pada 9 Ogos tahun lalu.
Malah, wakil rakyat PN dari Bersatu itu berkata, dia tiada masalah jika berdebat dua lawan satu serentak dengan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata debat dengan Syahir diadakan selepas pimpinan tertinggi blok pembangkang tersebut, antaranya Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, menolak jemputan.
“PN wakilkan kepada YB Syahir, sebab itu debat akhirnya dengan beliau sebagai mewakili PN,” hujahnya.
Pada 9 Ogos lalu, Rafizi mempelawa Wan Fayhsal yang juga Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu untuk berdebat mengenai ‘bagaimana merancakkan ekonomi dengan mencetak wang’.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, isu tersebut perlu dibahaskan kerana ia adalah idea paling bernas mengenai ekonomi yang pernah datang daripada pemimpin PN.
BACA JUGA ‘PN bawa suara rakyat?’, yakin sungguh Tuan Ibrahim