Mampu jana RM8k sebulan, IPR buka peluang B40 ubah kehidupan
Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) INSAN memberi limpahan rezeki buat salah seorang peserta di Machang yang dikenali sebagai Kak Wan.
Jika dahulu, suri rumah ini hanya bergantung kepada pendapatan suami sebagai pemandu bas di UiTM Machang dan pendapatan sampingan sekitar RM500 sebulan dengan menjual kuih secara atas talian.
Namun kini Kak Wan berjaya menuai hasil dari penyertaannya di IPR apabila meraih pendapatan bersih sekitar RM8,000 sebulan dengan menjual makanan melalui mesin layan diri.
Mesin layan diri Kak Wan diletakkan di UiTM Machang dan sejak penyertaannya pada Oktober tahun lalu, Kak Wan sudah meraih pendapatan kasar sehingga RM130,000 setahun.
“Jualan akak sebulan boleh cecah RM13,000 hingga RM21,000. Untung bersih akak boleh dapat dalam RM7,000 hingga RM8,000.
“Mula sertai bulan 10 tahun 2023. (Jumlah pendapatan setahun) Akak dah boleh cecah RM120,000 hingga RM130,000.
“Sebelum ini akak buat kuih. Akak buat karipap mini, popia mini dan jual secara atas talian. Akak juga ambil tempahan. Dulu akak boleh dapat dalam RM300 hingga RM500.
“Suami akak bawa bas dalam UiTM juga. Gaji dia tak ada lah banyak sangat, dalam RM1,300. Dulu akak susah sekarang sejak sertai IPR, kehidupan akak berubah,” katanya dalam satu video dimuat naik Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli di Facebook.
Rafizi dalam hantarannya turut berbangga dengan pencapaian Kak Wan yang merupakan salah seorang peserta berjaya menjana pendapatan tertinggi.
“Alhamdullilah, dengar kehidupan dia pun dah berubah dengan satu mesin vending di UITM Machang ni.
“Dulu nak beli keperluan anak susah, sekarang dah terkurang beban. Sampaikan untung bersih dia dapat buat dapur baru.
“Bagus cara Kak Wan kita buat perniagaan. Ada duit lebih, naik taraf lagi perniagaan dia,” katanya
Program IPR INSAN melalui mesin layan diri ini adalah bagi membolehkan golongan miskin tegar, miskin, dan B40 menjana pendapatan mereka sendiri sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan.
Mesin ini merangkumi makanan dengan harga serendah RM2 bagi sarapan pagi, dan hidangan makan tengah hari dengan harga rahmah RM5.
Apa yang menarik, kerajaan memberi jaminan akan menanggung sewa mesin dan tapak niaga selama dua tahun untuk peniaga-peniaga yang berminat.
BACA JUGA Wan Fayhsal kena ‘balun’ selepas persoal Rafizi belanja hampir separuh juta ringgit sejak 2020