‘Pas berlawan, bertempur dengan sesiapa sahaja dalam masyarakat majmuk’

Tan Sri Abdul Hadi Awang menerusi Minda Presiden Pas bertajuk “Politik Islam Kerana Allah” mengajak untuk mengenali Pas “sebelum menyertainya atau menyerangnya”.

Dia mendakwa politik Pas adalah kerana Allah, manakala tujuan penubuhan parti pembangkang itu “tidak ada dalam kamus sekularisme dan segala ideologinya”.

“Kami ialah kumpulan yang sentiasa membaca al-Quran dan mengkaji Sunnah Rasulullah SAW yang menunjukkan cara beramal dengannya sepanjang zaman dalam majlis ilmu, liqa’ fikri, tamrin, dan usrah, di samping sentiasa menunggu untuk melaksanakan mana-mana perintah Allah yang wajib dan boleh dilaksanakan.

“Jika ada halangan, maka kami berjuang mengatasi halangan itu bagi melaksanakannya supaya menjadi bekalan dunia hingga akhirat,” katanya hari ini.

Dalam masa sama, bekas Menteri Besar Terengganu sepenggal itu berkata, parti tersebut menerima keahlian daripada semua peringkat ilmu dan taraf kehidupan.

“Daripada yang paling tinggi ilmunya sehingga kalangan yang paling jahil, asalkan seseorang ahli itu berakal dan mukalaf.

“Bagi menegakkan Islam yang sempurna menghadapi zaman yang berubah dan cabaran yang berbeza, Pas bertahaluf dan berta‘awun serta berlawan dan bertempur dengan sesiapa sahaja dalam masyarakat majmuk yang berada di dalam medan kerjanya,” tegas Hadi.

Walau bagaimanapun, Pas ujarnya, tetap beristiqamah di atas dasar akidah perjuangan dan mampu berijtihad hukum yang tidak ada nas dalam membuat keputusan terhadap urusan kemanusiaan dan alam sekelilingnya.

“Hal ini demikian kerana, Pas dipelihara oleh pasukan Majlis Syura Ulamak yang berwibawa dan ilmuwan yang matang bagi menangani perjalanan di semua medan masyarakat majmuk dengan matang dan sejahtera.

“Islam mewajibkan politik sebagai amanah besar daripada Allah kepada manusia,” tambah ahli politik yang terkenal dengan Amanat Hadi di Banggol Peradong, Terengganu pada April 1981 itu lagi.

BACA JUGA RUU Mufti Wilayah Persekutuan 2024: Jauhi sikap sombong, cabar-mencabar

Â