RUU Mufti Wilayah Persekutuan 2024: Jauhi sikap sombong, cabar-mencabar

Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa mengingatkan pihak yang berbeza pandangan berhubung RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 perlu berpegang kepada adab-adab Islam dalam memberikan pendapat.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti AMANAH Negara (AMANAH) berkata, semua pandangan sepatutnya tidak lari dari kerangka besar yang diletakkan atas premis Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Jauhi sikap sombong dan cabar mencabar dalam menyatakan pandangan.

“Mereka yang berbeza pandangan tidak boleh dilabel sebagai anti-Islam mahupun anti-aliran tertentu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 bertujuan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara yang berhubungan dengan Mufti, penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin syarak serta perkara yang berkaitan di Wilayah Persekutuan (WP) sahaja.

RUU tersebut memperuntukkan sembilan bahagian iaitu bahagian permulaan, Mufti dan Timbalan Mufti, Jawatankuasa Fatwa, pengeluaran fatwa, penentuan kiblat, Jawatankuasa Falak Syarie, Jawatankuasa Rukyah Hilal, Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam serta perunding akidah dan pelbagai.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata, pandangan pelbagai pihak tentang RUU Mufti 2024 adalah bukti semua pihak prihatin untuk memartabatkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menegaskan bahawa mana-mana sikap yang dilihat melampau dan melabel mana-mana pihak hakikatnya tidak berpegang kepada manhaj Asyairah mahupun Maturidiyah yang sentiasa mengambil sikap bersederhana dalam perbezaan pandangan.

“Dalam semua pandangan tentang isu RUU ini, perlulah diambil beberapa panduan bahawa di penghujung keputusan RUU Mufti 2024 nanti hendaklah berpegang kepada prinsip sederhana (wasatiyah), tidak memecah-belahkan umat Islam dan berazam untuk memerangi budaya melampau dalam beragama (al ghuluw) serta fahaman khawarij yang merosakkan kesatuan umah dan negara,” katanya.

Sehubungan itu, Mujahid berharap perbahasan berkenaan RUU Mufti di Parlimen nanti dapat menzahirkan hasrat melihat institusi mufti di Wilayah Persektuan lebih berfungsi dan berkesan menangani fahaman al ghuluw dan khawarij yang kadang kala berselindung di atas nama membela Islam.

Pada 12 Oktober lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menjelaskan kekeliruan dan salah faham mengenai dakwaan penggubalan RUU Mufti akan menggugat kebebasan rakyat di negara ini.

“Perlu difahami bahawa sesuatu fatwa yang diwartakan di bawah RUU Mufti ini adalah mengikat orang Islam sahaja serta terhad di bawah bidang kuasa negeri selaras dengan butiran 1 Senarai II-Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

“Sebelum fatwa itu boleh mengikat, ia perlu diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Majlis Agama Islam terlebih dahulu.

“Dalam pada itu, fatwa juga tidak boleh bercanggah dengan mana-mana undang-undang bertulis,” jelas Dr Mohd Na’im.

BACA JUGA Wan Fayhsal kena ‘balun’ selepas persoal Rafizi belanja hampir separuh juta ringgit sejak 2020

Â