Ada anak tidak pernah lihat ibu mereka, 96 permohonan tuntut kanak-kanak GISBH

Terdapat kanak-kanak daripada lebih 200 orang yang diselamatkan dalam Op Global membabitkan GISB Holdings (GISBH) tidak pernah melihat ibu mereka.

Walau bagaimanapun, mereka antara yang dituntut dalam senarai 96 permohonan daripada pihak yang mendakwa ibu bapa kepada kanak-kanak terbabit.

Mengulas permohonan tersebut, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri, berkata pihaknya dalam proses untuk memohon kepada mahkamah untuk mengembalikan mereka terbabit kepada ibu bapa masing-masing.

“Apa yang kita lakukan adalah menjalankan penelitian dulu mungkin ada yang betul-betul ibu kerana ada juga yang berapa peratus itu anak yang tidak pernah melihat ibu mereka.

“Sebab itu kami perlu pastikan mereka yang menuntut itu adalah ibu dan kalau betul tidak ada apa-apa halangan, kita dalam proses sekarang ini memohon kepada mahkamah untuk kembalikan mereka.

“Ini kerana apabila kita hendak melindungi mereka ini di bawah kita, juga melalui proses mahkamah kerana tertakluk kepada akta dan ia tidak dilakukan tanpa melalui mahkamah,” jelasnya.

Nancy berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Toleransi Sifar Keganasan @Advokasi Antigangguan Seksual KPWKM 2024 di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) di Kajang, hari ini.

Seramai 560 kanak-kanak iaitu 283 lelaki dan 277 perempuan ditempatkan di pusat perlindungan setakat kelmarin.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapat perintah jagaan sementara daripada mahkamah bagi tempoh dua bulan berdasarkan peruntukan Seksyen 25(2)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

BACA JUGA Pegawai kerajaan, ahli politik terlibat dengan GISBH? Ini respon menteri

Â