Pegawai kerajaan, ahli politik terlibat dengan GISBH? Ini respon menteri

Kerajaan tidak bercadang menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung dakwaan kemungkinan ada pegawai kerajaan dan pemimpin politik bersubahat dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ini kerana tiada bukti kukuh yang boleh mengaitkan pegawai kerajaan dengan organisasi berkenaan.

Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu diberi ruang dan kepercayaan yang tinggi memandangkan siasatan dan operasi masih berjalan bagi menjejak saki baki kelompok tersebut.

“Selain itu, berdasarkan siasatan PDRM sehingga hari ini, tiada sebarang bukti kukuh yang boleh mengaitkan pegawai kerajaan dan pemimpin politik terlibat atau bersubahat dengan GISBH,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) sama ada terdapat pegawai kerajaan atau pemimpin politik terlibat atau bersubahat dengan GISBH, serta adakah Suruhanjaya Siasatan Diraja diperlukan berhubung jenayah yang dikaitkan dengan organisasi berkenaan.

Sementara itu kata Saifuddin, PDRM ketika ini sedang membuat pemantauan terhadap kegiatan GISBH di luar negara dan sekiranya terdapat kesalahan dari sudut undang-undang, tindakan akan diambil melalui Mutual Legal Assistance (MLA) dan Akta Bantuan Bersama Perkara Jenayah (MACMA) dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara dan pihak Interpol.

BACA JUGA Menteri Indonesia kata ada 3 sebab kenapa pelabur berpusu-pusu ke Malaysia

Â